Friday, May 15, 2009

TERASA AMAT DIHARGAI

Hari ini diadakan Majlis Perpisahan untuk saya. Jika 2 hari lepas saya sebak dan tidak dapat menahan airmata yang bergenang semasa majlis perpisahan yang dianjurkan oleh staf saya di Bahagian Pentadbiran, saya bertekad untuk menahan sebak dan 'cool' dalam majlis ini ... Pagi lagi saya di bawa ke Ledang Inn untuk bersarapan. Kemudiannya dijemput dengan kenderaan UiTM diiringi peronda keselamatan. Disambut bagai VIP di Dataran Seri Bendahara dengan bunga pahar dan paluan kompang. Diberi tabik hormat oleh Pengawal Keselamatan. Diiring masuk ke Bilik Seminar dan disambut oleh Pengurusan UiTM Johor diketuai oleh Prof. Dr.Hj. Muhd. Kamil bin Ibrahim, Timbalan-timbalan Pengarah,Ketua Bahagian dan staf UiTM Johor.
Perasaan amat-amat terharu. 1 Jun yang semakin hampir bagai tak terasa. Saya berselawat dan beristighfar sebelum sampai giliran saya untuk menyampaikan ucapan. Bukan saja untuk menenangkan diri tetapi juga untuk menyampaikan satu cerita yang penuh klasik, penuh bermakna dan penuh pedoman dalam hidup saya untuk melawan 'Ego Diri'. Biarlah pandangan hadirin hari ini pelbagai. Biarlah...walau banyak negatif daripada positifnya di kalangan yang mendengar. Tapi saya ikhlas untuk menceritakannya. Bersemangat dalam nada lembut tapi penuh ketegasan. Ketegasan yang jauh datangnya dari sudut hati yang tulus. Saya rungkaikan betapa egonya saya, berasa diri dalam kelompok rujukan hinggakan hati berasa amat terguris apabila keterlibatan dalam sesuatu aktiviti semacam tidak diperlukan. Ego yang meninggi tidak dapat merendahkan perasaan amarah pada Ketua apatah lagi bisikan sekeliling sesekali membakar dan memanaskan hati yang kian gelap, hitam, pekat dan hanya menunggu ianya hanyir dan busuk. Menjaja cerita "akulah kelompok pemulanya,tapi tak diumpama. Jangan harap aku akan bekerjasama sepenuhnya selepas ini". Ada sahabat yang faham marah saya kerana 'kerja' tapi tiada gunanya kalau ia bercampur dengan Ego. ''Khairul akan 'meletup' hari Isnin ni'...kias sahabat apabila dilhatnya tiada nampak unsur reda. Pagi Isnin yang penuh bercelaru mengubah satu gelombang perasaan marah...dilawan dan diniatkan untuk menghapuskannya dengan meletakkan nilai untuk menghormati pada kelas pertama khususnya Ketua dan meletakkan ego ditempat yang betul. Saya capai talileher yang dulunya cukup susah untuk dipakai...sebabnya cukup susah untuk dibutangkan dileher...tak sampai...selain rasa leher macam terjerut dan tidak selesa. "Aku nak lawan marah aku, biarlah talileher ini sebagai tanda semangat dan kerja aku tetap tinggi dan berkualiti." Asas dan niat yang 'very simple' akhirnya memberi satu manafaat yang amat berguna. Sehingga ke hari ini, saya selesa bertalileher...semacam dipermudahkan...kelangsungan niat yang datang dengan tulus dan ikhlas barangkali membuatkan ianya begitu. 'Moral of the story'...jangan layan kemarahan dengan perasaan, atasinya dengan muhasabah diri dan tekad yang tulus ikhlas...akan ada kemanisannya dan nikmatnya. KECIL TAPI SIGNIFIKAN adalah satu ungkapan positif yang sinonim dengan kisah tadi. Sebenarnya, petikan video klip yang menjadi penyebab kepada sebahagian punca kemarahan dan ego saya telah ditayangkan semasa Hari Kualiti 2008 terbitan 'My Friends Production' dengan tujuan untuk menegaskan bahawa apa yang diucapkan oleh Pengarah pada waktu itu adalah tepat, bernas dan padat...seharusnya di berikan perhatian serius untuk pedoman, ingatan dan tindakan.

Kepada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Bahagian, Koordinator-koordinator Program, Ketua-ketua Unit dan semua staf UiTM J0hor, mohon maaf atas salah silap saya dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Untuk Prof...terimakasih kerana menjadi Ketua yang baik, bijak dan bersemangat tinggi. Semoga Prof. terus bersemangat membangunkan UiTM Johor dengan cara tersendiri, dengan aura daripada Prof. yang bersifat holistik dan spiritual. Semoga ia terus subur dan membawa UiTM Johor sebagai kampus yang tersohor...Terima kasih semua.

No comments: