Saturday, September 27, 2008

SELAMAT HARI RAYA DARIPADA BAHAGIAN PENTADBIRAN


Kami mengucapkan Selamat Hari Raya maaf zahir batin kepada semua staf UiTM Johor dan rakan-rakan di kampus UiTM yang lainnya. Bagi kami di Bahagian Pentadbiran UiTM Johor, memohon maaf andainya terkasar bahasa dan terlajak kata semasa melaksanakan tugas seharian. Semoga kita dapat berkhidmat dengan lebih cemerlang untuk UiTM tercinta.

LAWATAN KE ISKANDAR MALAYSIA


Lawatan ke Iskandar Malaysia telah diadakan pada 25 September 2008. Lawatan ini bertujuan untuk melihat peranan yang boleh dimainkan oleh UiTM khususnya UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru yang terletak dalam pelaksanaan Iskandar Malaysia. Taklimat telah disampaikan oleh En. Nor Hisham Bin Hussein, Senior Vice President, Human Capital and Administration Iskandar Malaysia di Pejabatnya di Danga Bay. Perjumpaan selama 2 jam itu telah diisi dengan perbincangan khususnya ruang dan peluang yang ada dalam penyediaan tenaga kerja dan peranan yang dimainkan oleh Iskandar Malaysia dalam Pembangunan Wilayah Iskandar.

Thursday, September 25, 2008

MAJLIS BERBUKA PUASA DI KAMPUS LARKIN


Kampus Bandaraya Johor Bahru telah mengadakan Majlis Khatam Quran dan Berbuka Puasa pada 24 September 2008. Pengarah, Timbalan Pengarah HEA dan HEP serta Timbalan Bendahari juga turut hadir ke majlis ini. Tahniah kepada Dr. Ahmad Che Yaacob, Koordinator Kampus Larkin kerana berjaya menganjurkan majlis yang penuh bermakna ini. Besoknya saya mengadakan perjumpaan dengan semua staf pentadbiran Kampus ini dan sebagai kampus yang sebahagian besar staf adalah perlantikan baru beberapa input berhubung peraturan dan prosedur pentadbiran dibincangkan. Kepada staf Kampus Larkin Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin.

Wednesday, September 24, 2008

PEMANDU ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA










Tahniah diucapkan kepada para pemandu kerana sepakat dan berjaya menganjurkan majlis berbuka puasa pada 21 September 2009. Idea mengadakan majlis ini datangnya dari En. Salim dan disokong sepenuhnya oleh pemandu yang lain dan cadangan ini merupakan sesuatu yang amat saya hargai kerana semua urusan diuruskan oleh pemandu sendiri termasuk penyediaan khemah, menu jamuan dan jemputan. Lebih manis lagi apabila majlis yang dicadangkan secara 'pot-luck' di kalangan mereka ini mendapat 'tajaan' daripada Pengarah sendiri apabila beliau dimaklumkan berhubung perkara ini. Walaupun terdapat 2 majlis serentak pada hari tersebut, iaitu majlis berbuka puasa bersama pelajar Kolej Siswi di Masjid Assyakirin,beliau masih dapat meluangkan masa untuk hadir ke majlis ini. Prof.Madya Hj. Yusri Ismail, Timbalan Pengarah HEA turut hadir dan menjadi imam solat maghrib kepada pemandu. Turut hadir Prof.Madya Zaluddin Sulaiman, Timbalan Pengarah HEP dan En. Hussin Ab Mutalib Pegawai Eksekutif Bahagian Pentadbiran.
Terima kasih sekali lagi kepada para pemandu kerana menganjurkan majlis ini. Masak lemak daging salai dengan rebung, kari ayam kampung , mee hoon, kuih muih dan pelbagai lagi hidangan lain amat menyelerakan. Terima kasih kepada Pengarah atas sumbangan peribadinya (didoakan murah rezeki tuan..) dan yang pentingnya ikatan ukhuwah yang terjalin khususnya di
bulan yang mulia ini.

Tuesday, September 23, 2008

RAKAMAN KENANGAN PROGRAM BERSAMA MU





PROGRAM BERSAMA MU

Bahagian Pentadbiran UiTM Johor buat tahun ketiganya sempena syawal yang menjelang tiba mengadakan Program Bersama Mu. Program yang diadakan menjelang syawal ini dicetuskan oleh En. Razip Marjuki (Pembantu Am Pejabat) dalam mesyuarat Bulanan Bahagian Pentadbiran UiTM Johor. Dua keluarga dikenalpasti di kalangan penduduk setempat untuk diberikan sumbangan berupa barangan keperluan untuk menyambut syawal. Apa yang dibanggakan ialah komitmen dan kesungguhan staf menyumbang kepada kejayaan program ini. Pelbagai barangan keperluan seperti beras, tepung , telur, rempah ratus dan lainnya dapat dikumpulkan hasil niat ikhlas staf Bahagian ini untuk membantu mereka yang memerlukan sempena Hariraya yang menjelang tiba. Sebagai Ketua Bahagian, komitmen staf di semua peringkat seperti Pemandu, Pembantu Am Pejabat, Kerani dan pegawai-pegawai lainnya amat dihargai. Semoga usaha murni ini berterusan dan mendapat rahmat Allah s.w.t.