Friday, October 9, 2009

PENGERUSI KELAB

Mesyuarat Agung Kelab Staf Pejabat Pendaftar (KSPP) dan jamuan hari raya diadakan serentak. Kelab ini mempunyai keahlian lebih daripada 500 orang (termasuk Pengawal Keselamatan). Selesai pembentangan laporan oleh Ahli Jawatankuasa Kelab, pengundian dan pelantikan Pengerusi baru dibuat. Nama saya telah dicalonkan dan cadangan terus ditutup. Sah...saya diberi kepercayaan menerajui KSPP. Sesuatu yang amat baru bagi saya. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada kami (termasuk staf-staf yang menang bertanding). Sokongan padu warga kelab amat kami harapkan dan tentuya kami berdoa agar apa jua perancangan dan aktiviti kami beroleh rahmat dan keizinan Allah s.w.t . Amin...
Tahniah juga kepada Ahli Jawatankuasa Kelab sebelum ini yang diketuai oleh Pn. Norziah Daim kerana berjaya melaksanakan aktiviti yang dirancang dengan tersusun rapi.

Friday, October 2, 2009

SUA RAYA UiTM SHAH ALAM

Hari ini ada sambutan hari raya di Padang Kawad UiTM. Pertama kali menghadiri jamuan raya yang diadakan secara besar-besaran di sini. Meriah...memang meriah. Teringat sambutan hari raya dan rewang raya di UiTM Johor. Saya rindu pada suasana itu.
Pelbagai gerai dengan bermacam-macam juadah disediakan. Saya tak ada selera nak makan sangat. Cuma bergerak dari satu khemah ke satu khemah dan ternyata tak menghampakan kerana ramai kenalan dan sahabat lama saya jumpa di sini. Antaranya Zarina Salleh sekarang dah Dr. Masuk UiTM ni sama-sama dengan saya. Jumpa rakan-rakan lama semasa saya berkhidmat di HEP Shah Alam ni serta sahabat-sahabat yang pernah berkhidmat di UiTM Johor.
Khemah Pejabat Pendaftar menyediakan menu Laksa Penang dan ternyata sedap dan menyelerakan.Itupun saya dapat yang last 'kopek' .Terima Kasih Pn. Norziah Daim dan Azmah Maali yang 'simpankan' untuk saya laksa tu. Itu aje yang saya makan sebabnya lepas jamuan saya balik ke Segamat. Jumpa anak-anak (termasuk anak mentua)...he..he..he

Sunday, September 27, 2009

HAPPY BIRTHDAY TO ATUK

Mula ingatkan nak balik pagi ke Shah Alam. Besok dah mula kerja. Rancangnya nak bertolak lepas sarapan. Lepas tu isteri maklumkan hari ni 'birthday' Atuk. Yang ke 69 tahun. Kami rancang ajak Atuk makan tengahari kat rumah. Isteri dan Bibik mula siapkan makan tengahari. Baby paling kuat menyanyi 'eppi besdey to Atok...eppi besdey to Atok...' dan saat riuh dan meriah kami sekeluarga dapat saya rakamkan untuk kenangan. Paling seronok bila dengar dan lihat balik rakaman video dan ternyata suara baby yang paling nyaring ...
Jalan tak sesak
Saya tangguh balik dalam pukul 4 petang. Dah tak kisah jalan sesak ke tidak. Rasa liat nak balik sebenarnya. Apatah lagi bila masuk kereta, baby menangis nak ikut. Bawa pusing Taman 2 'round' dia tahu dan lagi kuat menangis. Terpaksa Mamanya pujuk. Perjalanan tenang dan tak sesak cuma nak sampai Seremban kereta dah mula banyak tapi ok. Terasa pulak pendeknya cuti raya...walaupun antara yang terawal ambil cuti...he..he..he..

dah mula banyak kereta bila tiba Seremban

Saturday, September 26, 2009

TETAMU DARI JAUH

Sebenarnya saya dah merancang untuk berjumpa Shahrul dan Rahimah semasa raya di Ayer Baloi hari tu, kebetulan mereka bercuti...(sekarang ni mereka tengah mengikuti pegajian PhD di Australia). Tapi mereka balik ke Ayer Baloi malam hari raya ke 4 dan saya dah berada di Labis (rumah keluarga Rahimah berdekatan dengan rumah saya di Ayer Baloi). Kami menjemput mereka sekeluarga ke rumah kami di Segamat malam ni. Fizah dan Zahar turut serta bersama keluarga.
Kami doakan semoga Shahrul dan Rahimah dapat menamatkan pengajian PhDnya dan semoga sentiasa sihat di perantauan dan dipermudahkan pengajian mereka untuk berjaya dengan cemerlang. Amin...

MEMORI RAYA

Memori 1
Pagi tadi berkesempatan raya ke rumah Prof Kamil (Pengarah UiTM Johor). Saja terus ke rumahnya tanpa memberitahu. Lagi pun tak tahu pukul berapa nak bertolak dari rumah sebab kami ke pasar dulu. Jumpa dengan Prof.Madya Ismail Shahri di pasar dan beliau menjemput ke 'open house' di rumahnya petang nanti. Kami sampai di rumah Prof dalam pukul 11:00 pagi. Terima kasih Prof. dan Roza kerana dalam kesibukan dan kedatangan kami yang tidak diduga sempat juga menyediakan juadah untuk kami dan Pn. Shamsiah sekeluarga.
Memori 2

Singgah di rumah orang tua En. Hussin di Kemelah. Kami dan macam keluarga. Sejak Abah meninggal, selain Abah (bapa mentua) Ayah En. Hussin rasanya mempunyai persamaan dengan perwatakan Abah. Antaranya ramah dan suka berbual.Rajin bercerita dan cara melayan tetamu yang betul-betul macam arwah Abah. Terima kasih juga pada En. Hussin dan keluarga kerana menyediakan makan tengahari untuk kami.
Memori 3
Ke rumah Salim Pemandu. Hari ini kami dihidangkan dengan ayam kampung masak lemak cili api. Ada sop tulang. Berselera betul kami sekeluarga makan. Tahun lepas kami makan ikan baung salai masak lemak cili api...Fuhhh...Ayong anak saya yang tua, semasa terserempak dengan Salim bulan puasa hari tu tanya 'Tak raya rumah pakcik tu ke Abah.? Penangan masakan lemak cili api Salim. Terima kasih Bro..
Memori 4
Hari ini PM Ismail Shahri mengadakan 'open house' serta pertunangan anak perempuannya. Kami pergi agak lewat sikit. 'Open house' rumah PM Ismail memang meriah dan banyak menu yang disediakan. Selalunya kami juga buat 'open house' tapi kali ini tidak berkesempatan dan PM Ismail dan keluarga sememangnya akan meluangkan masa ke 'open house' kami. Untuk PM Ismail dan Kak Yah, semoga selamat menerima menantu dan jangan lupa menjemput kami di Shah Alam.

Friday, September 25, 2009

RAYA DI TEMERLOH DAN MUAR

'Turn' raya di Labis pulak (keluarga sebelah isteri). Hari Khamis kami sekeluarga ke Temerloh. Emak dan Abah (mentua) kami bawa sekali. Kami ke rumah Pak Ngah (adik Abah). Menziarahi sekali anak dan cucunya yang terlibat kemalangan sebelum raya. Mereka dimasukkan ke hospital selepas kereta terbabas dalam hujan lebat sebelum waktu berbuka. Alhamdullilah sekarang ini dalam keadaan sihat walaupun kelihatan terkejut dan trauma.Moga cepat sembuh dan pulih seperti sediakala. Ingatkan nak telefon Khalid untuk beraya di kampung dia sebab tak jauh dah. Tak jadi...dia tengah sibuk bawa Luqman kutip duit raya kot...he..he..he
Hari Jumaat kami bersama keluarga beraya di Muar. Abah orang Muar. Dah jadi tradisi kami akan ke Muar setiap kali raya. Apa yang penting anak-anak kenal saudara mara mereka di sebelah saya dan isteri. Dulu masa saya naik bas ekspres ke KL,saya suka tengok suasana kampung dan laman rumah orang Muar. Lamannya nampak kemas, bersih dan damai. Sekeliling rumah ada pokok buah-buahan.Sekarang ni dah banyak Taman Perumahan. Masa di Universiti saya mengetuai Persatuan Anak-anak Johor mengadakan projek kampung angkat anjuran Kerajaan Negeri Johor di Segamat dan kami di bahagikan antara mahasiswa/i universiti yang turut serta. Selepas tamat program kami (8 orang - saya, Azhar (UKM) serta Liza (UTM), Along(UIA),Hashimah(USM) serta 2 lagi rakan tak ingat namanya bermalam di rumah Zura(UTM) di Sungai Mati. Kebetulan waktu tu musim buah-buahan dan hubungan rapat kami bagaikan satu keluarga.Saya dilantik sebagai Penghulu bagi kumpulan ini. Tapi sekarang kami 'lost contact'. Saya sempat menghubungi Liza di JB menjemput beliau hadir ke majlis perkawinan saya...tapi beliau tak dapat hadir (masa tu nombor telefon 6 angka lagi)..dan minta maklumkan kepada 'adik beradik' yang lain. Beliaupun dah anak satu waktu tu. Hampir 21 tahun berlalu. Teringat pulak pada dia orang. Berkat Aidil Fitri tahun ini dan ingatan jalinan ukhwah yang tiba-tiba melintas di kotak fikiran kenangan semasa menulis blog ini, mungkin dengan keizinanNya kami dapat bertemu semula...bersama keluarga masing-masing. Entah bila agaknya tiba waktu itu...

Thursday, September 24, 2009

BERTOLAK BALIK KE LABIS

Tengahari raya ke empat kami balik ke Labis. Sebelum balik, adik saya Yen yang tinggal berhampiran rumah emak menjamu kami sekeluarga nasi ayam dan laksa. Walaupun hampir tiap minggu saya balik ke sini dan Yen begitu ringkas dan rajin menyediakan makanan untuk kami, suasana raya ternyata berbeza dari hari-hari biasa.

Tuesday, September 22, 2009

MANDELA

Malam hari raya ketiga kami ke Mandela, sebuah restoran makanan laut di Serkat, berhampiran Kukup. Terkenal dengan masakan 'seafood'nya yang sedap dan 'fresh' serta harga yang berpatutan. Cuma tempatnya agak jauh ke dalam walaupun cuma 10 hingga 15 minit perjalanan. Keadaan jalan masuknya yang sunyi dan gelap dan jalannya yang kecil menambahkan rasa jauh perjalanan menuju ke Mandela. Bagaimanapun, bila dah sampai ke restoran berkenaan, suasana meriah kerana restoran ini selalunya penuh dan kami perlu membuat tempahan terlebih dahulu.
Semua keluarga ada kecuali keluarga Sham (adik).

RAYA DI RUMAH JAJA

Hari ini saya dan keluarga beraya di rumah Pn. Jaja. Jaraknya cuma 7 minit perjalanan dari rumah saya. Bila kira-kira ada 7 orang staf dari kampung saya yang pernah bekerja di UiTM Johor ni. Selain saya dan Pn.Jaja antaranya ialah Pn. Haryati, pensyarah Bahasa Inggeris, Pn. Rahimah, pensyarah Perakaunan (isteri En. Syahrul Akhmar), Pn. Siti Hajar Mohd Ali, EO kampus JB, En. Md Din pemandu dan Prof. Hj. Ismail Ahmad, Perakaunan.

Terima kasih kepada Pn. Jaja dan keluarga kerana menjamu kami dengan mee hup sup. Emak dan adik saya turut serta kerana mengikut kami beraya di rumah saudara mara yang lain selepas ke rumah Pn.Jaja. Untuk Pn.Jaja dan Danish semoga berbahagia di hari raya ini dan tabah serta didoakan semoga dirahmati Allah s.w.t. Amin...

Sunday, September 20, 2009

ALBUM KELUARGA SYAWAL 2009

1 SYAWAL 1430H



1 Syawal menjelma lagi. Selepas menziarahi kubur Arwah Abah bersama isteri dan anak-anak, saya ke masjid untuk solat Aidil Fitri. Balik solat kami sekeluarga mengadakan sesi bergambar. Bukan senang untuk berkumpul kesemuanya dalam satu masa. Airmata Emak bergenang semasa saya memohon maaf dan mencium pipinya. Isteri dan anak-anak satu persatu bersalam dengan Emak. Sempat beliau doakan kejayaan Fitri dalam PMR yang akan didudukinya. 'Baby' bersemangat mencium Mak Atuk apatah lagi bila dapat duit raya..dan saya sendiri dapat duit raya daripada Emak. Betul-betul bonus raya. Terima kasih. Semoga Emak dirahmati Allah s.w.t.

KENANGAN BERSAMA ABAH MENJELANG RAYA

Sudah 8 tahun Aidil Fitri disambut tanpa Abah. Selalunya hari terakhir puasa selepas subuh saya akan mengikut Abah ke Rengit kerana membeli daging. Agak jauh dari kampung dalam 40 minit perjalanan. Sebabnya, suasana disekitar Pekan Rengit memang meriah dan sibuk seawal 6:30 pagi. Yang menjual daging saja lebih daripada 20 gerai. Tambahan pula di kampung saya agak terhad dan tidak ramai yang menjual daging semeriah di Rengit. Sayalah yang membawa daging dan barangan keperluan lain yang dibeli besama adik lelaki saya Syam. Sampai berbekas jari jemari mengangkat daging dan yang lainnya. Sampai di rumah saya mengambil tugas menyiang daging untuk dimasak. Saya seronok...dan dari pagi hingga petang hinggalah waktu berbuka suasana di dapur cukup meriah.
Sekarang ini, suasana itu yang saya bawa untuk anak-anak dan isteri. Hinggakan si 'baby' pun saya ajak duduk menyibuk di dapur dan ternyata dialah yang paling sibuk nak buat itu ini. Dan setiap menjelang Aidil Fitri bila kami semua dapat berkumpul, tugas saya ialah merakamkan detik-detik bersama keluarga dan sanak saudara melalui kamera digital dan kamera video saya dan kemudiannya saya jadikan klip video untuk tayangan dan kenangan..dan kenangan bersama Abah tidak pernah saya lupakan.

Saturday, September 19, 2009

SUASANA PETANG DAN MALAM RAYA

Petang dan malam raya selalu mengingatkan saya di zaman kanak-kanak. Di rumah ini lah kami adik beradik sibuk menolong emak dan malam menjelang raya bermain bunga api selepas pasang pelita raya. Mercunpun mercun roket aje bukan meriam buluh. Tapi dentuman meriam buluh memang meriah di kampung saya. Suasana yang paling seronok bila kebiasaannya hari ke 15 emak dah menjemur tepung untuk buat kuih. Horey...itu tandanya hari dah nak raya. Sekarang ni dah tak nampak lagi suasana menjemur tepung...