Sunday, November 1, 2009

KENDURI KAHWIN

Saya mula bercuti pada hari Khamis yang lalu kerana adik saya Yen mengadakan majlis 'menjemput menantu' di Ayer Baloi. Emak pesan banyak kali suruh balik...dah lama tak ada kenduri kahwin. Yang terakhir masa kahwin Idah (adik bongsu) lebih kurang 9 tahun yang lalu. Emak kata dia teringatkan Abah. Sememangnya kalau Abah ada dialah orang yang paling sibuk. Masa kahwin Kak Nor (anak pertama) siap bermesyuarat. Begitu 'detail'..ada agihan tugas yang jelas dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada yang besar...hatta dengan tukang masakpun ada mesyuaratnya...apalagi dengan orang rewangnya.

Dan waktu tu jemputan memanglah ramai...memang lepak keesokan harinya. Kemeriahan dan keseronokan berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara, bergotong royong sebelum majlis dan suasana kesibukan di dapur bersama 'penanggah' membuatkan saya memandu dengan penuh keseronokan macam nak balik raya rasanya. Sempat singgah di Melaka beli t-shirt bewarna oren 'tema' yang ditetapkan oleh Yen.

Saya sampai dari Segamat jam 4 petang. Waktu itu hujan lebat. Orang tengah sibuk bergotong royong. Ada yang melapah daging, yang tengah masak untuk makanan orang rewang, yang memotong bawang dan keperluan memasak, yang mengemas khemah dan suasana anak-anak buah yang riuh bermain. Isteri saya dan bibik terus membantu kerja-kerja di dapur. Tugas utama saya ialah merakam dan mengambil gambar suasana itu. Hujan sudah mula reda.


Malam diadakan bacaan doa selamat. Dijamu dengan sup tulang dan roti bersama kopi pekat. Fuh...berselera. Saya sempat menayangkan klip video yang saya buat untuk keluarga (termasuk hari raya-serta Alkuliyyah TV3 disambung dengan set karaoke) dan bunyinya macam dalam panggung. Beberapa ahli keluarga menyumbangkan suara yang dah sedia sumbang...termasuk 'baby' dan Ika dengan lagunya Gubahanku...

Pagi pukul 4:45 saya dah bangun. Lepas subuh saya menjengok ke dapur, Long Bakar tukang masak (terkenal dengan masakan baryaninya di Ayer Baloi) dah mula bertugas dengan beberapa orang 'staf'nya. Sememangnya tiap kali kenduri-kendara di rumah kami beliaulah tukang masaknya.
Dengan kain 'gombang' saya memerhati dengan penuh minat macam 'mandur'.
Suasana pagi yang nyaman dan dingin berkabus membuatkan saya tekun memerhatikan.

Nyaman dan meriahnya kenduri kendara dalam suasana kampung. Walaupun saya pernah menghadiri majlis perkahwinanan saudara mara di hotel mewah dan dewan 'banquet' suasana tradisional begini memang meruntun dan mengusik jiwa.

Jam 9:00 pagi semuanya sudah tersedia untuk dimakan walaupun lauk pauk belum empuk sepenuhnya . Baryani kambing dan dalca tetel adalah yang pertama saya jamah. Ayam goreng panas dibuat ala pasar malam, 4 periuk untuk gorengan disediakan berhampiran khemah. Minuman juga disediakan 4 jenis...teh bunga, airmata kucing, air jagung dan air sirap bandung. Emm...malas mau cerite...nyum..nyum..nyum...

Awie anak kakak saya yang tua kata " seronok juga ada majlis macam ni..." saya nampak anak-anak buah- Awie, Amy, Angah dan anak saya Ayong bersemangat membantu kerja-kerja rewang...lebih-lebih lagi dapat baju 'oren' dan tuala sorang satu.

Saya mencelah..'dulu masa kahwin emak Awie, Pak Ngah dengan Pakcik sampai naik mengelelas (bahasa kampung maknanya mengelecet) kelengkang ke hulu ke hilir angkat hidang dan basuh pinggan...betul-betul lepak dan penat. Besoknya nak bangun ke tandas pun sikit punye payah..." Pakcik tersenyum aje mengiyakan... (empat dari kiri).

Alhamdullilah, sepanjang majlis berjalan, cuaca cerah cuma dalam pukul 4:30 petang hujan mula turun. Mungkin sebab Ika dan Ashraf menyanyi.

Emak dan rakan seperjuangannya Bapa dan Mak pengantin (dari kanan)Aksi jelitawan...he..he..he
'Control Macho'...

Hussin dan ayahnya serta keluarga datang dari Segamat. Terima kasih kerana sudi datang. "Sedap Rul masakan baryani ni...dalcanya pun sedap."...kata Hussin. Long Bakar ni memang terkenal dengan masakan baryaninya dan keluarga kami memang mengambilnya kalau kenduri kendara.


Antara tetamu yang datang

Alhamdullilah majlis keseluruhannya berjalan lancar. Dan tentunya kemeriahan majlis dan berkumpulnya kami adik beradik serta sanak saudara menghilangkan kepenatan kami. Dan penat tu hilang sebab saya 'pengsan' (tertidur) dari jam 9 malam hingga ke 4:30 pagi...petang nak balik ke Shah Alam pulak...emmmph...

SELAMAT PENGANTIN BARU

No comments: