Sunday, September 20, 2009

KENANGAN BERSAMA ABAH MENJELANG RAYA

Sudah 8 tahun Aidil Fitri disambut tanpa Abah. Selalunya hari terakhir puasa selepas subuh saya akan mengikut Abah ke Rengit kerana membeli daging. Agak jauh dari kampung dalam 40 minit perjalanan. Sebabnya, suasana disekitar Pekan Rengit memang meriah dan sibuk seawal 6:30 pagi. Yang menjual daging saja lebih daripada 20 gerai. Tambahan pula di kampung saya agak terhad dan tidak ramai yang menjual daging semeriah di Rengit. Sayalah yang membawa daging dan barangan keperluan lain yang dibeli besama adik lelaki saya Syam. Sampai berbekas jari jemari mengangkat daging dan yang lainnya. Sampai di rumah saya mengambil tugas menyiang daging untuk dimasak. Saya seronok...dan dari pagi hingga petang hinggalah waktu berbuka suasana di dapur cukup meriah.
Sekarang ini, suasana itu yang saya bawa untuk anak-anak dan isteri. Hinggakan si 'baby' pun saya ajak duduk menyibuk di dapur dan ternyata dialah yang paling sibuk nak buat itu ini. Dan setiap menjelang Aidil Fitri bila kami semua dapat berkumpul, tugas saya ialah merakamkan detik-detik bersama keluarga dan sanak saudara melalui kamera digital dan kamera video saya dan kemudiannya saya jadikan klip video untuk tayangan dan kenangan..dan kenangan bersama Abah tidak pernah saya lupakan.

No comments: