Tuesday, March 31, 2009

BOWLING KELAB AR

Kelab AR adalah kelab yang aktif. Kelab yang dianggotai oleh semua peringkat Gred Penolong Pendaftar ini (sekarang ini melebihi 230 orang keahlian) mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Bayangkan, saya mula masuk kerja pada tahun 1990..sehingga kini (19 tahun) aktiviti kelab ini sentiasa berterusan..Semalam, kelab ini menganjurkan pertandingan bowling sempena mesyuarat semua Gred Penolong Pendaftar dan pertandingan di jalankan di Pusat Bowling Seksyen 18. Selain bersukan, ukhuwah dan kemesraan antara 'senior' dan 'junior' dapat dipupuk. Apabila diajak oleh Pn.Norziah dan Pn. Ros untuk menyertai pasukan mereka, mulanya macam malas nak main sebab saya nak buat 'preparation' untuk pembentangan dalam sesi perkongsian menghadiri seminar di Tobago. Akhirnya saya bersetuju.
Gaya memang Pro Bos...'Foul' tu buat tak nampak aje..takpe...Nasir macam nak bukak silat pengantin aje..
Pertandingan berlangsung dalam kemeriahan, walaupun saya antara yang biasa dengan sukan bowling ini, kemenangan bukan buruan utama..(he..he..tapi bila tengok yang 'junior' dah mendahului dan pasukan kami agak ketinggalan..terpaksalah keluarkan 'skill' sikit-sikit..). Apa-apapun ramai yang berkemampuan untuk diketengahkan...Zahimi dan pasukannya, Lotfi, Salleh dan yang saya minat dengan kesungguhan Nasir Perak. En. Osman amat bergaya kalau dapat 'spare' bola belum kena pin dah jalan selamba..Memang betul-betul 'confident' dapat 'spare'. Hj. Jamal masih berstamina..macam masa beliau main badminton berpasangan dengan En.Othman lawan dengan team 'junior' .
Nak main bowling ke nak joget zapin si Alias ngan Lotfi ni...
Untuk Rafizi, Alias, Badrul, Sharil, Zahurin, Imran 'and the gang', team Ana Kartini, dan Puan Ramlah nasihat saya tambak lagi 'parit' lorong bowling tu agar bola tak mudah jatuh ke situ...he..he..he..jangan marah aaa...Semangat Saiful amat saya kagum...walaupun bahu dan tangannya tak kuat kerana patah masa ikut kursus 'team building' dulu...sanggup main walaupun dengan tangan kiri...apa-apapun tahniah untuk semua. Pn. Ros yang akan berpindah ke Pejabat Korporat berbisik pada saya...'I nanti nak buat 'friendly match' ngan TV3..bagus tu..jangan lupa jemput 'bintang-bintang' yang main malam ni...Tahniah untuk En.Alias dan Syahril yang anjur pertandingan ni...
Gaya Saleh nak bagi singa makan, Fizi pulak gaya suruh kambing masuk reban...

Wednesday, March 11, 2009

PONTIAN KECIL, PONTIAN BESAR

Pontian Kecil besar, Pontian Besar kecil. Itulah uniknya Daerah Pontian. Pusat Bandar ialah Pontian Kecil dan lebih menjadi tumpuan. Sebahagian Pontian Besar adalah penempatan nelayan dan menghadap Selat Melaka. Dulu masa sekolah Tingkatan 4&5 (di Sekolah Sri Perhentian-SSP) hari-hari lalu Pontian Besar. Baru-baru ni masa balik kampung (dari Kulai) kami lalu bandar Pontian. Singgah di Pontian Kecil (juga menghadap laut dan Pulau Pisang jelas kelihatan). Sate dan murtabak nya amat sedap. Kalau tanya saya makanan kegemaran saya yang sedap di Daerah Pontian ni ialah sate, murtabak, mee bandung (Ayer Baloi) dan masakan 'seafood' di Restoran Mandela (jalan ke Kukup). Melihatkan panorama alam yang amat menarik petang itu, saya merakamkan gambar di sekitar Pontian Besar dan Pontian Kecil. Terima kasih isteri dan anak-anak kerana sabar menunggu.

Gambar dibawah adalah ikan tembakul yang riang bermain di sekitar pantai yang tohor waktu tu..ikannya kecil saja (sebesar jari kelingking Faresya Zulaikha - anak saya yang berumur 6 tahun). Gambar ini di 'zoom' dari tembok pantai ke kawasan 'permainan mereka'
Gambar berikut adalah panorama waktu hampir senja di pantai Pontian Kecil yang menghadap Pulau Pisang. Masa saya kecil dulu Pulau Pisang ini terkenal dengan buah mempelamnya yang dipanggil pelam pulau bukan buah pisangnya...isinya manis dan tidak berulat.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di Pontian Besar. Suasana perkampungan nelayannya menjelang senja membuatkan saya sekali lagi memberhentikan kereta dan turun untuk mengambil gambar. Terpegun saya melihat suasana senja di sini. Apalagi...saya pun mencapai kamera dan 'set'kannya ke 'mode sunset' sebagaimana nasihat sifu. Saya rasa inilah peluang saya untuk merakamkan panorama alam yang mengasyikkan. Dan hasilnya seperti berikut:

Saya turun ke pelantar yang betul-betul menghala ke matahari terbenam. Banyak gambar yang saya rakamkan dan yang di bawah ini betul-betul membuat saya teruja. Sebabnya selain pelantar kayu yang bergoyang dan nampak 'regai' yang menyebabkan pergerakan saya terbatas, terdengar bunyi enjin bot dan saya tidak pasti dari arah mana datangnya. Apa yang dapat saya lakukan ialah saya halakan kamera ke arah matahari terbenam dan tunggu bot berkenaan lalu untuk saya rakamkan detik berkenaan. Sambil mengambil gambar dari sudut yang lain pula dalam masa 5 minit terdengar bunyi enjin bot tadi yang berpatah balik dan saya kembali menghala kamera ke arah matahari dan hasilnya ternyata ia tidak menghampakan saya.

Dan gambar berikut sempat juga saya rakamkan dalam 'mode' video. Dalam rakaman berkenaan jelas kelihatan matahari turun perlahan-lahan dan hilang dari pandangan. Saya akan ke sini lagi bersama 'tripod' untuk sesi rakaman yang lebih menarik: catatan pengalaman kepada minat/hobi yang baru saya pelajari
Yang ni komen sifu tempohari dalam email :
Scenery sunset tu memang cantik. Aku pun tak pernah dapat peluang macam tu. Mungkin kena pergi Pontian ni...Angle gambar tu dak kira oklah tu. Lain kali pakai tripod, cuba guna A, letak f = 8.0 dan ISO = 100 dan guna timer 10 saat untuk shoot. Juga guna M, f= 8, ISO =100 dan speed = bawah 1/30.

Thursday, March 5, 2009

KALI KETIGA

Bukan gagal PTK atau mana-mana exam. Tapi keguguran kandungan yang dialami isteri. Buat kali ketiga. Sebelum ini beliau pernah gugur 2 kali sebelum kami memperolehi Fateha Syahera (anak yang kelima)..kandungan yang baru berusia 11 minggu didapati tidak sihat apabila doktor mendapati tiada denyutan jantung dan pendarahan telah mula dialami oleh isteri. Saya faham akan situasi dan perasaan yang dialaminya. Apatah lagi diperingkat awal anak-anak yang disekeliling kami amat gembira bila dapat tahu mereka nak dapat adik. Apa-apapun inilah ketentuanNya. Kami redha...

Sunday, March 1, 2009

BOWLING PIALA NAIB CANSELOR

UiTM Johor menghantar 10 orang pemain untuk menyertai pertandingan Bowling Piala Naib Canselor. Acara yang dipertandingkan kali ini ialah acara perseorangan. UiTM Johor merupakan juara berpasukan bagi sukan ini peringkat antara Kampus. 3 orang pemain UiTM Johor telah tersenarai sebagai 'Top 10' daripada hampir 90 orang pemain seluruh kampus. Bagi acara Masters pula 2 orang pemain UiTM Johor iaitu Iskandar (pengawal keselamatan) dan Hashim (pemandu) telah berjaya menduduki tempat ke 3 dan ke 4. Prestasi saya amat merudum...taring dah hilang...alasan biasa 'lama tak main'...tapi untuk persiapan sukan antara kampus yang akan diadakan di Trengganu, saya kena kembalikan zaman kegemilangan..kena turun 'training'...nanti tak terpilih pulak sebab dah ramai muka baru...

Saturday, February 28, 2009

FOTO 'SHAH ALAM'

Masjid Negeri @ Shah Alam

Lambang Kemegahan Bangsa @ Shah Alam

Monday, February 23, 2009

PCB

Bukan potongan cukai berjadual...tapi Pantai Cahaya Bulan di Kota Bahru. Sampai di Kota Bahru jam 5:00 petang. Berkesempatan dengan En. Hussin untuk menikmati suasana petang di PCB selepas pekena sotong, udang dan ikan celup tepung. Dengan LUMIX sempat saya mengambil gambar panorama sekitar PCB ini...bila melihat blog Hj. Yusof -warna memori- dengan gambar langit dan Pantai Lidonya..bersemangat saya nak mengambil gambar sekitar pantai. Tapi hari ini cuaca agak mendung sedikit. Pengunjung di PCB pun tak ramai. Tapi LUMIX tetap cuba mencari sudut yang dirasakan strategik untuk merakamkan panorama pantai ini. Dan tentunya komen daripada SiFu akan diminta..

pukulan ombak @PCB

Friday, February 20, 2009

KAMERA BARU

Alahai...kamera Canon yang dibeli hampir 2 tahun rosaklah pulak..banyak jasa kamera tu...khususnya merakamkan peluang menghadiri seminar di Trinidad and Tobago dan ketika berada di Kota London. Rosaknya kerana mungkin terlalu lasak dan tidak cermat penggunaannya. Banyak gambar-gambar dalam blog ini dirakamkan oleh kamera berkenaan. Yang nyata kamera ini sentiasa di bawa ke mana-mana. Tn. Hj. Yusof Timbalan Bendahari adalah antara orang yang menimbulkan keseronokan mengambil gambar dan mengajar teknik-teknik terbaik menggunakan kamera. Blognya boleh dilawati disini. Saya ditemani Tn. Hj. Yusri Ismail, Timbalan Pengarah HEA (seorang lagi yang banyak menasihati tentang penggunaan kamera) ke kedai gambar di Angsana. Niatnya nak hantar baiki kamera yang rosak...bincang punya bincang, tawar punya tawar belilah kamera LUMIX... itupun setelah dapat perkenan SiFu kameralah...Tn. Hj. Yusof.

Gambar ni adalah 'Speaker' masjid As-Syakirin UiTM Johor. Pembesar suara yang baru dipasang ini merupakan 'assignment' pertama LUMIX.

Tuesday, January 13, 2009

MANDI SAUNA


Pagi lagi saya dah bawa anak-anak berjalan dan bersiar-siar di sekitar kabin penginapan (Ayong je takde sebab dah balik asrama). Ya Allah..! nyamannya udara pagi di sini. Sejuk dan nyamannya terasa macam saya baru sampai masa berkunjung ke London tahun lepas.
Hari ni memang kena mandi sauna. Tak dapat elak lagi. Semasa sarapan, penyelia Nasuha Resort beri tau memang slot mandi sauna ni dah masuk dalam pakej program. Rugi tak mandi katanya. Selepas pembentangan perancangan strategik Kampus Larkin dan majlis penutupan oleh Pengarah, saya ke tempat mandi sauna. Bilik mandinya terletak di atas bukit sikit, tak jauh dari restoran dan kawasan jualan herba. Sampai saja saya terus selak daun pintu bilik yang kosong nak tengok keadaan biliknya (bilik saunanya terletak di celah-celah pokok herba dan pokok hutan yang ada dan bilik-biliknya di 'kawasan terbuka'). Biliknya kecil dan sempit. Bilik yang saya masuk memang khusus untuk tiga orang. "Sekejap bang..tunggu wapnya keluar dulu..kata budak yang jaga bila dilihatnya saya terjenguk-jenguk nak masuk..

Masuk ke bilik benda pertama yang saya cari ialah selak pintu/tombol pembuka. Teraba-raba dalam gelap dengan wap asap yang berkepul-kepul ('standby' supaya senang nak keluar kalau sesak nafas).Bilik yang kecil dan sempit itu dipenuhi dengan asap yang tebal disamping bau-bauan campuran herba. Teringat pesanan Dr Ahmad, '5 minit pertama kena tahan En. Khairul, lepas tu ok..' Mulanya saya duduk..mata dah mula pedih sikit sebab wap asap yang amat tebal...hidungpun dah berair..nafas ok tak sesak..bahang panas dah terasa...Ya Allah...keadaan bilik yang sempit dan cahaya lampu yang tak dapat menampung ketebalan asap menyebabkan kita tak nampak apa hatta orang yang di sebelah kita..berbalam-balam dalam asap tebal. 5 minit pertama yang amat mendebarkan...patutlah ada yang keluar. Terfikir pulak sejenak..bagaimana agaknya kalau tak tahan dan tak jumpa selak pintu...Mau 'pokah' pintu kena rempuh agaknya...Lepas 5 minit terasa berpeluh yang amat sangat. Saya mula berdiri dan bahangnya lagi terasa seluruh badan. Masa ni hidung saya berair dan pedih sedikit tapi mata ok dah tak pedih. Mungkin dah boleh sesuai dengan keadaan sekeliling bilik. Asap makin membuak-buak dan bau-bauan herba amat menyegarkan. Badan sememangnya berpeluh dan rasa dah macam mandi biasa. Basah kuyup. 40 minit seterusnya berdiri dan bertenaga. Satu pengalaman yang menakjubkan...Masa nak keluar asap masih tebal lagi...tapi selak pintu kan dah tahu kat mana jadi senang aje pintu dibuka. Rupanya ada satu lagi daun pintu yang ditutup oleh budak yang jaga tadi dari luar. Teraba-raba lagi sekali dan nasib baik tak susah cari. Agaknya kalau saya sesak nafas tadi bukan pintu aje yang 'pokah' tapi dengan bilik sauna ni pun rebah agaknya kena rempuh..he..he..he..apa-apapun misi berjaya...tahniah untuk diri sendiri...dan dah tentunya isteri dan anak-anak saya dengar panjang lebar cerita saya mandi sauna campur dengan tokok tambah sikit.."Sedap lah abah bau herba sauna ni...kata Fareha anak saya yang nombor dua bila saya lalu kat dia...entah berapa jenis herba yang dicampur sampai bau-bauan herba melekat pada badan..

Satu lagi yang istimewa di Ladang Nasuha ini ialah nasi Baryani herba dengan lauk ayam dan kambing serta ulam-ulaman. Dihidangkan bersama teh GORA yang banyak khasiatnya. Ikut Dr. Ahmad baik untuk orang lelaki...Dengan sekejapnya 2 teko habis diminum untuk kami berempat termasuk Tn. Hj. Nasuha dan Prof...

Monday, January 12, 2009

LADANG HERBA NASUHA

Bersama rombongan Kampus Larkin, saya menyertai program mereka di Ladang Herba Nasuha di Pagoh. Saya dan keluarga tiba jam 4:30 petang dan sesi mandi sauna untuk lelaki baru saja selesai. Kata Dr. Ahmad "En. Khairul mandi besok dengan Prof...lepas sesi perasmian dan perbincangan." Beberapa staf kampus berkenaan yang baru keluar dari Bilik Sauna kelihatan merah muka, merah mata dan ada yang kata mencabar mandi sauna "herba" di sini. Hidung pedih dan berair, sesak nafas ada, panas, seronok, segar, badan ringan, ada masuk 5 minit lepas tu keluar tak tahan sebab sesak nafas dan macam-macam lagi yang mereka cerita kerana kebanyakannya kali pertama mandi sauna. Masa makan malam ada pulak yang bagi tau, kalau ada sakit darah tinggi atau jantung tak sesuai dan jangan sorang-sorang dalam bilik. Biliknya kecik dan gelap, bukan macam di hotel. Semua cerita-cerita tu menyebabkan saya berfikir dua tiga kali nak mandi ke tidak.

Kawasan persekitaran ladang herba ini memang luas dan ia juga merupakan salah satu Pusat Latihan Khidmat Negara. Kami ditempatkan di kabin no 8 dan biliknya selesa untuk kami sekeluarga. Walaupun berada di hutan (pokok-pokok herba) saya dapati tiada nyamuk yang mendekati.
Yang ni sesi belajar ambik gambar dengan mintak anak-anak buat aksi 'stunt' dalam kabin dan gambar di bawah diambil masa kami cari jalan nak ke Kabin tak jumpa (selepas makan malam) dalam gelap pekat Hutan Herba ni. Akhirnya terserempak dengan pelatih PLKN dan dia kata baik ikut pintu kedua berdekatan perkhemahan mereka dan keluar semula ke jalan besar. Bila masuk balik ikut pintu utama tu yang berhenti sekejap ambik gambar di bawah ni...

Monday, November 3, 2008

AR JOHOR


Ni lah barisan AR JOHOR yang penuh bergaya..tambah-tambah lagi dua jejaka yang mengapit si Jaja. Macam pengawal peribadi. Fasha tak ada dalam gambar sebab dia di Johor Bahru.

Untuk semua kaum kerabat AR Johor khususnya saya, marilah kita berusaha dan berdoa agar kita dapat memberi perkhidmatan yang terbaik dalam kerjaya ini.
psst... sesekali bergambar macam ni, rasa macam baru masuk kerja...(perasan muda lah tu...)

Friday, October 31, 2008

IKAN BAUNG SALAI MASAK LEMAK CILI API

"Rul, kami sekeluarga nak mai Segamat. Anuar nak makan ikan baung masak lemak. Anak-anak you ada tak..boleh jumpa depa.." Ok..no problem..bila nak mai..? 2 November nanti...
Saya terima panggilan daripada PM Dr. Rugayah isteri Dr. Anuar Marzuki...jiran kami semasa di Bukit 2, Perumahan Kakitangan UiTM Sabah. Bila saya terima panggilan tu, saya tak boleh menolak, saya akan usahakan dapat ikan baung masak lemak...sebabnya 'sifu' saya masak lemak cili api ialah Dr. Anuar Marzuki. Semasa kami bujang di Sabah, Dr. Anuar mengajar dan memberi resipi ketam masak lemak cili api. Ketam masa tu murah dan sememangnya 'fresh' di Sabah. Dan boleh kata ilmu yang diperturunkan tu telah berjaya saya praktikkan dengan penuh bergaya (perasan)...apa taknya, ramai dah makan hasil masakan 'air tangan saya' baik keluarga, kawan-kawan dan 'bakal keluarga mertua' (masa tu...skill kena tunjuk...he..he..he). Bila beritahu kat Dr. Rugayah perkara tu...dia tanya..''Abih..la ni hang masak dak.."Masak..masa Zura bersalin last year..seminggu I masak..itu pun anak-anak macam tak percaya. La ni tak lagi..I punya 'sifu' macamana...2 x 5 katanya...he..he..he..

Apa-apa pun terima kasihlah sudi bawa keluarga ke rumah kami. Bukan senang nak berkumpul balik macam di Sabah. Untuk memastikan apa yang dihajati oleh mereka dipenuhi, saya mohon bantuan tukang masak profesional, En.Salim yang memang terkenal juga sebagai 'pemburu baung sungai'. Semoga masakan ikan baung salai masak lemak cili api yang dihidangkan meninggalkan kenangan indah untuk persahabatan dan persaudaraan ini. Amin

TEMPAT JATUH LAGIKAN DI KENANG



Saya berkhidmat di UiTM Sabah hampir 8 tahun. Buat masa ini antara AR yang paling lama berkhidmat di sana. Sejak bujang hinggalah mempunyai 2 orang anak dan semasa saya ditawar bertukar ke UiTM Melaka, anak ketiga dalam kandungan. Berkhidmat dengan 3 orang Pengarah (Prof.Madya Hj.Baharuddin Ismail, Prof.Madya Zainuddin Osman dan Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Hj. Nasuddin Othman) dan semasa bertugas di Bahagian HEA Sabah, berkhidmat dengan 3 orang Timbalan Pengarah, (Prof.Madya Dr. Worran Kabul, Pn. Hajjah Saidah Mohd Salleh dan Prof. Madya Abdul Rahman Kimsin).


Apabila diminta untuk mewakili Prof., saya amat berterima kasih, ada ruang untuk saya berjumpa rakan lama dan mengimbau kembali nostalgia waktu di sana..dan ternyata apabila En. Masri (pemandu..katanya saya yang ambil beliau bekerja...saya tak ingat) membawa saya menyusuri bandaraya Kota Kinabalu, rasa syahdunya teringat waktu bertugas di Sabah ni...maklumlah...teringat masa bujang, saat-saat waktu bersama keluarga dan anak-anak dan dah tentunya tempat makan yang kami gemari "Tanjung Lipat Corner (TLC)".
Malam selepas kami tiba di Kota Kinabalu, UiTM Sabah meraikan tetamu jemputan di Restoran Kari Kepala Ikan...walaupun dah kenyang dengan jamuan tersebut, tetap saya singgah di TLC untuk menikmati menu kegemaran dan rasanya yang popular di kalangan mereka yang pernah berkhidmat di Sabah ni (khususnya staf UiTM)...'kepak ayam panggang".

Kepada rakan-rakan yang sempat saya jumpa,terima kasih kerana belanja makan, bagi ole-ole, kemudahan dan masih mengingati saya...Terima kasih pada Dr. Worran, En. Din., Hj. Kadir, En. Mat Zin,Awang Bakar, Pn. Janis, En. Ahmad Suman dan ramai lagi semoga Allah membalas budi baik kalian. Untuk Mr. Rubin kaulah sahabat sejati, Masri yang pinjamkan kereta, Ag Asim dan Janin bagi udang kering, Salim, Sudin, Azizah, Rapidah, Noriah, Jamal, Jamieh dan ramai lagi yang sempat saya jumpa...'Walau sedetik pertemuan itu, kesannya di hati seluas langit biru". Semoga jumpa lagi...