Saturday, July 18, 2009

SYUKUR



Emak selamat dibedah. Tapi dia kelihatan letih berbanding pembedahan pertamanya dulu. Dia dibius penuh. Selepas pembedahan, Idah adik saya yang giliran menjaganya pada hari pembedahan memberitahu emak kelihatan penat dan 'mamai'. Satu persatu nama anak-anaknya disebut. Yang saya menjadi sebak...dalam keadaan tak berapa sedar tu, dia kelihatan seolah-olah mencium pipi kanan dan kiri serta menyebut nama anak saya, baby (Julia). 'Sim card handphone' saya pulak rosak. Sepanjang hari 'no network access'. Malam lepas maghrib baru ok dan saya telefon emak. Dia sebak..pembedahan kali ini sakit berbanding sebelumnya. Dia bertanyakan baby...tapi katanya budak-budak tak boleh naik tengok dia.
Hari ini saya bawa isteri dan anak-anak tengok beliau di hospital. Julia, Ika dan Abang Uda tak boleh naik, tinggal di bawah dengan Bibik Ipah. Adik-adik dan kakak saya juga ada cuma Sham adik saya yang di KL tak dapat balik. Emak dah mula segar sikit walaupun nampak letih. Syukur Alhamdullilah...semoga Emak cepat sembuh...

Wednesday, July 15, 2009

PEMBEDAHAN KALI KEDUA

Hari ini emak akan ke Hospital Pakar Sultanah Aminah Johor Bahru untuk pembedahan kali kedua tetapi lututnya yang di sebelah kiri (sebelum ini di sebelah kanan). Jika tekanan darahnya terkawal (beliau tekanan darah rendah) pembedahan akan dilakukan pada hari Khamis ini. Saya telefon beliau dan mendoakan agar semuanya selamat cumanya dia kata walaupun untuk kali kedua...perasaan takutnya masih ada.

Saya bersyukur adik saya Yen dan Idah dapat menguruskan pendaftaran Emak dan seterusnya menunggu dan menjaganya semasa di Hospital. Kebiasaannya saya akan menguruskan pendaftaran dan membawa Emak ke Hospital. Kalau ikut perancangan bulan lepas (Jun) saya sepatutnya membawa Emak bercuti ke Kelantan (dah kena tukar nak buat camne)...destinasi percutian yang dah jadi rutin tahunan kami sekeluarga..Semasa hayat Abah, mereka selalu ke sana. 'On the way back' kami akan singgah bermalam di Trengganu dan Kuantan.

Semoga Emak selamat menjalani pembedahan dengan tenang dan sihat sejahtera. Lepas tu kita gi Kelantan eh...

Monday, July 13, 2009

MESYUARAT BAHAGIAN

Hari ini kali pertama saya mengadakan mesyuarat secara rasmi dengan staf saya di Bahagian Pengurusan Perjawatan (Akademik). Untuk sesi mesyuarat yang akan diadakan secara bulanan, ia akan diteruskan dengan amalan yang ada sebelum ini iaitu antaranya sesi perkongsian di mana semua staf akan diberi ruang untuk sesi perkongsian ilmu berkenaan tajuk yang mereka rasakan perlu untuk dikongsi bersama. Dan pada hari ini giliran Ani, Jurutaip kami dengan tajuk Masa. Satu penerangan yang jelas dan yakin walaupun diperingkat beliau mungkin belum pernah menyampaikan tazkirah seumpamanya.
Dikesempatan ini juga diadakan majlis perpisahan En. Saffwan, Pegawai Eksekutif kami yang akan bertukar ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Shah Alam. Saya ucapkan selamat bertugas di tempat baru dan semoga perubahan tempat bertugas membawa hikmah untuk kerjaya yang lebih cemerlang. Amin...

Saturday, July 11, 2009

JAMUAN ANJURAN PEMANDU UiTM JOHOR

En. Khairul balik tak hujung minggu ni ? Tanya Farid pemandu UiTM Johor. InsyaAllah balik...jawab saya ringkas. 'Syukur Alhamdulillah..' katanya. Rupanya hujung minggu mereka dah merancang untuk mengadakan jamuan untuk saya, Dan kebetulan hujung minggu kali ni tak ramai pemandu UiTM Johor yang 'outstation' atau ada urusan. Saya rasa terharu. Satu penghormatan dan saya amat menghargainya.
Saya difahamkan hampir RM 500 ringgit kutipan yang dibuat untuk majlis ini di kalangan mereka. Pemandu UiTM Johor mempunyai tabung yang mereka wujudkan sendiri selain kutipan khas untuk majlis sebegini. Mereka juga satu-satunya kumpulan yang menubuhkan tabung 'khairat' yang dibuat secara muafakat...dan diberikan kepada keluarga pemandu Cawangan lain yang meninggal dunia. Sepanjang perkhidmatan saya di Johor, antara kenangan manis bersama mereka ialah apabila mereka berjaya mengadakan majlis berbuka puasa bersama Pengurusan UiTM Johor dan urusan majlis ini yang diadakan berhampiran rumah pemandu diuruskan sepenuhnya oleh mereka...
Terima kasih kepada semua pemandu UiTM Johor. Selamat Maju Jaya.

SELAMAT ULANG TAHUN PERKAHWINAN

Hari ini keluarga mentua saya mengadakan majlis kenduri kesyukuran. 3 dalam 1 dan diadakan 2 sesi...lepas zohor untuk kumpulan yasin perempuan dan lepas maghrib untuk jemaah masjid. Emak dan adik saya juga datang pada sebelah petang dari Ayer Baloi. Terima kasih juga pada Prof. Kamil dan Pn. Roza serta Ustaz Zaluddin dan Kak Ayu yang sudi hadir.

Hadiah untuk Alia
Majlis ini adalah sempena meraikan ulang tahun perkahwinan mertua saya, 'birthday' Alia dan kesyukuran untuk Pakcik Dollah. Terima kasih Emak dan Abah atas kasih sayang yang diberikan kepada kami sekeluarga. Terima kasih juga kerana membantu kami, menjaga dan melayan karenah anak-anak kami...apatah lagi buat masa ini Zura (isteri saya) belum dapat pindah dan Ayong akan menduduki peperiksaan PMRnya. Bantuan dan pengorbanan kalian tidak akan kami lupakan. Kami doakan semoga kalian sihat sejahtera dan sentiasa dalam rahmat Allah s.w.t.

Friday, July 10, 2009

PROGRAM CERIA 2

Tema: Merah Hitam
Kali kedua saya menyertai program ceria Pejabat Pendaftar. Pagi ni betul-betul ceria. Sebabnya banyak lagu-lagu yang mengiringi senaman hari ni merentasi zaman...dari muzik zaman 60an hinggalah ke era 2000. Yang perempuan nampaknya rancak dan bersungguh-sungguh. Yang lelaki malu-malu kucing nak goyang badan. Henjut sikit-sikit aje ...'control macho'..Apa-apa pun respek kat Huzaifah dan Bro Rahman...pulun habis...joget 60an...makanan...
Belon pun merah hitam
Tn. Badar dan Haji Jamal
(Alumni UiTM Johor..he..he)
Sesi regangan dengan lagu 'Afghan-Terima Kasih Cinta' (thanks Pn. Khairul Bahriyah kerana beri lagu tu) memang mengasyikkan...sesuai rasanya lenggok dan 'step' tarinya untuk 'release tension'...dan sesuai untuk saya ajar dan ajak Ika dan Julia (baby) ikut serta nanti. Takpun dengan mamanya...he..he..he
Rasanya program sebegini amat sesuai dilaksanakan. Selain senaman, ukhuwah dan yang pentingnya semangat kerjasama khususnya penganjur yang digilirkan setiap bulan..mereka kelihatan bersungguh-sungguh sebagai 'host'. Tahniah Bahagian Perkhidmatan Psikologi. Giliran Bahagian Perjawatan 'next year'...lama lagi...
Betul-betul ceria

Sunday, June 21, 2009

ABAH

Tahun ini genap 8 tahun Abah meninggalkan kami. Meninggalkan kenangan manis dan sehingga kini curahan kasih sayangnya menebal dalam diri setiap kami. Kenangan suka duka semasa bersamanya sering terbayang. Sedikit kemahiran yang ada pada saya dalam membuat 'video editing' membolehkan saya meluahkan perasaan melalui kisah-kisah kenangan bergambar dan di 'CD' kan untuk tatapan keluarga dan anak-anak. Perjalanan dalam percutian kami sudah tentunya CD berkenaan ditayangkan. Anak saya yang kecil (Julia-2 tahun) boleh ingat lagu-lagu yang saya pilih itu sebagai lagu 'Tok Bah" (Atuk Abah). Lagu-lagu Sudirman seperti pelangi petang, ayah dan ibu dan salam terakhir serta lagu Ayah nyanyian Broery adalah antara lagu-lagu yang menyentap perasaan saya yang diselitkan dalam video berkenaan. Adakalanya dalam perjalanan percutian keluarga , saya yang sedang membawa kereta tidak dapat menahan cucuran airmata walaupun video berkenaan dah berulang kali ditayangkan. Ia datang dari dalam, datang dari hati dan perasaan semasa membuatnya, datang dengan kerinduan yang amat sangat sehinggakan setiap detik dan ketika semangatnya sentiasa bersama saya. Di saat akhirnya, kesempatan untuk saya menjaganya di Hospital adalah umpama sebutir pasir kecil di celah-celah selautan kasih sayang yang dicurahkannya.
Hari ini...anak-anak mengucapkan hari bapa untuk saya. Mendoakan saya. Abang Uda telefon. Saya sebak dan tidak dapat mengeluarkan kata-kata. Tersekat...saya tak berkesempatan jumpa dia di Labis..Petang nanti saya akan balik ke Shah Alam. Semasa saya di meja komputer, terdengar suara Julia tercari-cari saya...'ane abah'...'dah balik syah ayam'...kata Ika mengusik...saya memerhati ia berlari ke pintu..'nak abah'...katanya...
Abang Uda
Saya tak berkesempatan mengucapkan selamat hari bapa untuk 'Abah'. Doa saya kepada NYA adalah sebaik-baik ucapan 'Selamat Hari Bapa' untuk Abah...

Saturday, June 20, 2009

KURSUS PTK

Bermula 15 Jun hingga 20 Jun saya menduduki kursus PTK yang diadakan di Hotel UiTM Shah Alam. Seramai 37 orang peserta terlibat dari seluruh sistem UiTM termasuk di kalangan Timbalan Pendaftar, Timbalan Bendahari,Timbalan Ketua Pustakawan,Pegawai Perubatan dan Gred Kanan bagi jawatan berkenaan. Turut serta Pegawai Sistem Maklumat Kanan. Sepanjang kursus PTK saya menginap di Hotel UiTM menumpang di bilik Tn.Hj. Yusof, Timbalan Bendahari UiTM Johor. Terima kasih Tuan Hj.

Pagi tadi peperiksaan PTK dijalankan selama 3 jam bermula jam 9:00 pagi. Semalam saya mohon restu dari emak minta beliau doakan kejayaan saya. Dah jadi kebiasaan. Hatta masa main bowling Sukan Antara Kampus juga saya mohon restu beliau sebelum pertandingan bermula. Isteri dan anak-anak juga sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan saya. InsyaAllah..semoga diberkati..

Monday, June 15, 2009

KERINDUAN

Minggu ni saya balik Segamat lagi, tapi naik bas dari Seksyen 17. Kereta ditinggalkan di INTEC. Sebabnya minggu lepas kena 'jam' teruk. Bertolak dari Segamat jam 6 petang sampai rumah di seksyen 7 jam 11:30 malam.

Naik bas lebih mudah dan menjimatkan. Sampai di Segamat jam 11:00 malam sebab Bas CEPAT singgah di Puduraya ambil penumpang lagi. Baby (Julia) belum tidur. Puas dan seronok melayan karenah dia. Sesekali kalau kena marah dah pandai merajuk. Petang tadi dia main di laman rumah dengan Ika. Mereka berdua memang rapat. Seronok tengok gelagat mereka berdua. Sejak berpindah dan duduk sorang-sorang ni..betul-betul terasa rindu pada gelagat dan karenah anak-anak. Kadang-kadang tu karenah dan gelagat biasa aje. Tapi bila dah macam ni saya jadi lebih 'detail' memerhatikan gerak-geri mereka dan tentunya gembira bila melihat mereka gembira.

Sunday, June 14, 2009

HADIAH YANG AMAT BERNILAI

Petang ni saya susun hadiah yang saya terima sama ada semasa majlis perpisahan mahupun sebelum dan selepas majlis berkenaan. Lebih daripada 30 bungkusan hadiah dan sebahagiannya telah dibuka dan digantung. Sudah tentu hadiah-hadiah ini amat berharga kerana pada saya ia melambangkan kasih dan tanda penghargaan kepada khidmat bakti, persahabatan dan yang pentingnya ia adalah lambang keikhlasan apatah lagi ia disampaikan kepada saya sebahagian besarnya melalui majlis formal yang diatur begitu baik dan cemerlang. Dan saya benar-benar berasa amat dihargai.

Salah satu hadiah yang penuh simbolik dan amat-amat saya hargai ialah hadiah BEG BOWLING kerana saya dapat membayangkan dan merasakan bagaimana usaha-usaha dan perbincangan dibuat oleh mereka untuk akhirnya sepakat menghadiahkan saya sebuah kenangan yang amat indah. Terima kasih staf-staf saya di Bahagian Pentadbiran kerana memberikan bukan saja hadiah tapi tersiratnya kepada usaha-usaha mengenalpasti apa minat saya, menghargai perkhidmatan saya dengan bersusah payah mengadakan majlis perpisahan saya di hotel (entah berapa kutipan dibuat untuk tiap orang) dan semuanya ini hanya dapat dilaksanakan dengan hati yang benar-benar ikhlas dan itulah hadiah yang amat bernilai buat diri saya. Terima kasih...terima kasih...terima kasih...Semoga kalian semua dirahmati Allah.

Friday, June 12, 2009

PROGRAM CERIA PEJABAT PENDAFTAR

Program ini adalah acara bulanan Pejabat Pendaftar. Tuan rumah kali ini diketuai oleh Pn. Saadah, Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Prestasi dan Kenaikan Pangkat. Selain acara senaman, program juga diselitkan dengan tazkirah dan penyampaian hadiah staf cemerlang bulanan. Berpeluh sakan pagi ini. Sambil bersenam tak lepas peluang ambil gambar program yang pertama kali saya sertai ini. Seronok. Yang tak seronoknya lepas program semasa nak menuju ke kereta tersungkurlah pulak sebab kaki tersadung batu...Cheh..

Thursday, June 11, 2009

SALAM PERPISAHAN

Salam perpisahan untuk En.Zulkefli. Petang selepas perbincangan dengan En. Zul serta AR Fairuzah dan Zahurin, staf yang lain dipanggil ke bilik. Diadakan secara ringkas sesi penyerahan tugas dan kebetulan En. Othman Ketua Timbalan Pendaftar ada sekali. Ucapan En. Othman ringkas, jelas dan padat. Satu cabaran untuk saya. Suasana perpisahan sebegini biasanya bagi saya akan mencuit emosi hinggakan sukar kata-kata nak keluar. En. Zul dalam ucapannya tenang dan satu persatu dikeluarkannya. Tersusun. Tiada emosi.
Berakhirlah sesi 'latihan' dan bermula satu cabaran dan pengalaman baru untuk saya. Saya bermohon kepada Nya semoga dipermudahkan. Amin...

Tuesday, June 9, 2009

MAKAN DI NANDOS

Petang Jumaat minggu lepas En. Othman Ibrahim Ketua Timbalan Pendaftar mengetuai majis meraikan En.Zulkifli yang akan bertukar ke Perlis di Nandos SACC Mall Shah Alam. Timbalan Pendaftar Kanan, Pn.Nor Zalaihan, Pn.Saadah dan Pn.Ramlah serta Timbalan Pendaftar Pn. Alfina turut hadir dalam majlis ini. Majlis yang sederhana tapi meriah dan santai ini amat signifikan bagi saya apatah lagi rasanya inilah kali pertama Ketua Bahagian di Jabatan Pengurusan Sumber Manusia dapat berkumpul dalam suasana yang sebegini.
En.Zul gembira menerima buku yang dihadiahkan

Sunday, June 7, 2009

BERSARAPAN BERSAMA KELUARGA

Dah seminggu saya berkhidmat di Bahagian Perjawatan (Akademik). Apa yang nyata En. Zulkefli Sohaimi yang akan bertukar ke UiTM Perlis banyak membantu saya. Dan seminggu ini banyak perkara-perkara baru yang saya pelajari.

Petang Jumaat selepas kerja saya balik ke Segamat. Sampai di Segamat saya bawa isteri dan anak-anak makan di Juara Tomyam (tempat Dr.Syed Omar belanja saya makan). Anak-anak berkumpul kerana cuti sekolah. Pagi tadi isteri saya menyediakan sarapan yang cukup menyelerakan apatah lagi seminggu ni asyik makan kat luar aje. Bubur nasi dengan sambal ikan bilis goreng, telur masin, paru-paru goreng dan menu yang baru dicubanya iaitu lontong goreng. Memang sedap. Rasanya pagi ini amat meriah betul bersarapan sebab lama kami tak dapat berkumpul bersama. Ayong dengan Kak Ngah di asrama, Abang Uda pulak tinggal dengan Atuk. Petang saya balik bersama keluarga dan tidur di Ayer Baloi. Jengok Emak. Besok dah balik Shah Alam semula...Fuh...rutin baru yang perlu disesuaikan. Semoga ada hikmahnya dan diberkati...Amin..

Saturday, May 30, 2009

TERIMA KASIH PEMANDU

Seramai 63 orang pemandu dari seluruh cawangan berkumpul di UiTM Sarawak. Ada yang baru berkhidmat 3 bulan hinggalah yang akan bersara dalam waktu terdekat. Kursus yang julung-julung kali diadakan ini memberikan peluang kepada mereka untuk bertukar-tukar pendapat selain mengeratkan ukhuwah di kalangan mereka. Kepada semua pemandu khususnya pemandu UiTM Johor, bermulalah dengan 'buku baru' untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik. Hapuskan tanggapan negatif yang ada pada pemandu selama ini dengan membuat satu perubahan diri dengan hati dan niat yang benar-benar jujur dan ikhlas. InsyaAllah semoga dengan niat yang murni itu menjadikan golongan pemandu bukan saya disenangi malah dihormati dan disanjungi.
Bersama Pengarah UiTM Johor
Gambar selepas sesi pertama
Wajah-wajah


Wednesday, May 27, 2009

SARAWAK OH SARAWAK

Penerbangan ke Kuching berlepas jam 10:05 malam dan mendarat jam 11:50 malam. Pemandu UiTM Sarawak En. Sabri dah sedia menunggu. UiTM Johor menjadi sekretariat bagi kursus yang menghimpunkan pemandu dari semua Cawangan UiTM kecuali Melaka yang tidak menghantar wakil. Tahun lepas saya ke Sarawak bersama Pasukan Unit Kualiti UiTM Johor. Di sinilah bermulanya minat saya mengambil gambar apabila tinggal sebilik dengan Prof.Madya Kamil Taufik yang rajin juga merakamkan gambar. Saya cakap pada beliau balik nanti saya juga nak beli kamera...
Kali ni saya dengan Tn. Hj. Yusri (yang luas juga pengetahuannya mengenai kamera) memberi tunjukajar cara-cara menggunakan mode yang ada pada kamera saya.
Sarawak oh Sarawak... gambar-gambar hanya dapat diambil sekitar "Water-Front" saja..mungkin kena datang lain kali untuk merakam cerita bergambar keunikan budaya masyarakat di sini nanti...

Gambar-gambar ini diambil dengan tunjukajar Tn. Hj. Yusri. Maaf Tuan Hj. sebab terus tinggalkan Tuan dimeja minum bila nampak 'Sarawak River Cruise' nak lalu...

Sunday, May 24, 2009

JAMUAN DI RUMAH USTAZ ZALUDDIN

Ustaz Zaluddin menjemput kami sekeluarga untuk makan malam di rumahnya. Dah tentu Puan Ayu (isteri Ustaz) masak menu 'special' untuk kami. Dah banyak kali juga kami merasa masakannya. Semasa taska UiTM mengadakan hari keluarga 2 tahun lepas, kami dihidangkan dengan nasi bukhara. Jamuan berikutnya ialah nasi dagang udang dan ikan tongkol...dan menu malam ni ialah nasi Baryani kambing dan ayam yang dimasak sendiri oleh Puan Ayu.
En.Zulkifly Abdul Majid, Pengurus Asrama juga akan bertukar 1 Jun nanti dan beliau turut hadir.Beliau akan bertukar ke Kampus Banadaraya Melaka. Prof. juga ada bersama keluarga. Terima Kasih Ustaz. Semoga murah rezeki dan boleh jemput kami lagi.

PROF. SINGGAH DI AYER BALOI


Hari ini kami menziarahi Jaja. Sampai rumah Jaja di Ayer Baloi dalam pukul 3:30 petang. Lepas itu terus ke rumah saya. Ini kali kedua Prof ke kampung saya. Terima kasih Prof. kerana sudi singgah dan tentunya emak saya sebak dan bergenang airmata apabila ketua saya menadah tangan mendoakan kesejahteraannya...apatah lagi saya yang selalu membawa beliau ke mana-mana dan hampir setiap minggu balik kampung menjenguk beliau bersama isteri dan anak-anak akan bertukar ke Shah Alam dan rutin itu sebanyak sedikit akan terganggu...Tentunya doa Prof. membawa erti yang besar kepada perasaan dan jiwa beliau. Semoga kita semua dirahmatiNya...

SALAM TAKZIAH UNTUK PN.JAJA

Pn. Jaja telefon semasa saya sedang makan dengan Prof. dalam majlis anjuran BPJI. 'Bos...Ijam dah tak ada...'katanya. Saya hulurkan telefon pada Prof. untuk beliau bercakap dengan Jaja. 'Besok kita balik awal dan you ikut sekali untuk ziarah.' ujar Prof.
Jaja sekampung dengan saya iaitu Ayer Baloi Pontian. Jarak rumahnya dengan rumah saya lebih kurang 10 minit. Takziah diucapkan kepada Jaja dan semoga roh suaminya dicucuri rahmat Allah s.w.t.