Thursday, May 21, 2009

FARESYA ZULAIKA & FATEHA SYAHERA

Ika dan baby (saya panggilnya Julia) akan kami bawa ke Shah Alam nanti. Balik dari sukan antara kampus, isteri maklumkan pukul 10:00 pagi ada acara sambut 'birthday' ke enam tahun Ika di Taska UiTM. Hari lahirnya ialah pada 16 Mei yang lepas. 'Happy belated birthday' Ika...

UiTM JOHOR JUARA BOWLING

Sukan Antara Kampus UiTM berlangsung di UiTM Dungun, Trengganu. Saya menyertai sukan bowling yang diadakan di Diman Bowl, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Pasukan Bowling UiTM Johor terdiri daripada En. Onn dari Bahagian Kewangan, En. Hashim dari Unit Kenderaan, En. Iskandar Unit Keselamatan dan saya sendiri. Saya bertolak ke Kuantan jam 2:00 petang kerana sebelah pagi bermesyuarat dengan staf pentadbiran kemudian terus ke Diman Bowl di Kuala Trengganu. Kami mulakan latihan jam 10:30 malam dan kemudian sampai di hostel UiTM Cendering jam 2:30 pagi. Besoknya pukul 8:30 pagi bersarapan keropok lekor di losong sebelum bertolak ke Diman Bowl. Perlawanan bermula jam 10:00 pagi dan berakhir jam 3:00 petang.
mula sarapan dengan keropok lekor
Alhamdullilah, setelah kejar mengejar jatuhan pin dengan Shah Alam, Sarawak, Perak, Trengganu dan Kedah, akhirnya UiTM Johor muncul johan dengan kelebihan 40 pin mengatasi UiTM Trengganu manakala tempat ketiga dimenangi oleh UiTM Perak. Tahniah UiTM Johor kerana berjaya mempertahankan kejuaraan acara berpasukan Bowling.Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang memberikan saya peluang untuk bermain mewakili UiTM Johor. Sesungguhnya inilah kenangan yang amat berharga kerana atas semangat berpasukan kita berjaya dan atas kesungguhan kalian mengajak saya untuk turun bermain dalam pasukan sebagai penghargaan dan kenangan sebelum saya berpindah amat-amat saya hargai...dan lebih manis lagi ia beroleh kejuaraan...dan diraikan sekali lagi dengan makan keropok lekor...

Tuesday, May 19, 2009

SELAMAT HARI LAHIR PROF.KAMIL

Pagi ini kami di Bahagian Pentadbiran meraikan hari lahir Prof. Kamil. Kami mulakan dengan majlis bacaan yasin yang diketuai oleh imam Ustaz Azrul diikuti mesyuarat bulanan Bahagian kami. Selepas mesyuarat, majlis sambutan hari lahir diadakan secara sederhana tetapi penuh bermakna kepada kami. Kehadiran Timbalan-timbalan Pengarah , Ketua-ketua Bahagian dan Puan Roza (isteri Prof) menyerikan lagi majlis kami. Puan Jaja 'sponsor' kek walaupun dia tidak dapat bersama pada hari ini kerana menjaga suaminya yang sedang dirawat di Johor Specialist. Saya menyediakan gulai kurma daging yang dimasak oleh isteri dan staf kami menyumbangkan menu utama yang ditempah pada Kak Nor iaitu laksam, nasi impit, rendang ayam dan kuih muih. Saya sempat menyediakan video klip terbitan 'My Friends Production' sebagai tanda ucapan hari lahir daripada kami. Prof...semoga sihat sejahtera, murah rezeki dan bersemangat melalui seruan dakwah Prof. dengan cara tersendiri. Amin...

Monday, May 18, 2009

TERIMA KASIH TUAN SYED OMAR

Prof.Madya Dr. Syed Omar yang saya kenali adalah seorang yang pemurah, periang dan suka menolong orang. Beliau juga rajin belanja staf saya di Bahagian Pentadbiran. Beliau menjemput kami sekeluarga dan En. Hussin untuk makan ikan bakar dan kali ini bukan di Melaka tetapi di Segamat, di sebuah restoran yang beliau adalah penasihatnya (Konsultan). Selain ikan bakar, restoran ini juga menyediakan pelbagai jenis masakan lain seperti masakan ala thai, sate, aneka sup dan macam-macam lagi. Malam ni selain ikan bakar kami makan sup 'gear box'. Sungguh menyelerakan. Restoran ini terletak di IOI Segamat. Cubalah...

Friday, May 15, 2009

IKAN BAKAR LAGI

Kali ni Jeff, Adib, Acip, Najib dan Hussin menjamu kami sekeluarga di Medan Ikan Bakar Umbai, Melaka...Terima kasih dan kami amat menghargainya. Terima kasih atas nilai persahabatan yang amat berharga, yang membuatkan kami rasa sebak, terharu dengan setiap undangan dan jemputan yang kami terima. Sesungguhnya persahabatan yang bertunjangkan akar ketulusan dan keikhlasan yang kukuh ini akan tersemat di hati sanubari kami. Terima kasih...

TERASA AMAT DIHARGAI

Hari ini diadakan Majlis Perpisahan untuk saya. Jika 2 hari lepas saya sebak dan tidak dapat menahan airmata yang bergenang semasa majlis perpisahan yang dianjurkan oleh staf saya di Bahagian Pentadbiran, saya bertekad untuk menahan sebak dan 'cool' dalam majlis ini ... Pagi lagi saya di bawa ke Ledang Inn untuk bersarapan. Kemudiannya dijemput dengan kenderaan UiTM diiringi peronda keselamatan. Disambut bagai VIP di Dataran Seri Bendahara dengan bunga pahar dan paluan kompang. Diberi tabik hormat oleh Pengawal Keselamatan. Diiring masuk ke Bilik Seminar dan disambut oleh Pengurusan UiTM Johor diketuai oleh Prof. Dr.Hj. Muhd. Kamil bin Ibrahim, Timbalan-timbalan Pengarah,Ketua Bahagian dan staf UiTM Johor.
Perasaan amat-amat terharu. 1 Jun yang semakin hampir bagai tak terasa. Saya berselawat dan beristighfar sebelum sampai giliran saya untuk menyampaikan ucapan. Bukan saja untuk menenangkan diri tetapi juga untuk menyampaikan satu cerita yang penuh klasik, penuh bermakna dan penuh pedoman dalam hidup saya untuk melawan 'Ego Diri'. Biarlah pandangan hadirin hari ini pelbagai. Biarlah...walau banyak negatif daripada positifnya di kalangan yang mendengar. Tapi saya ikhlas untuk menceritakannya. Bersemangat dalam nada lembut tapi penuh ketegasan. Ketegasan yang jauh datangnya dari sudut hati yang tulus. Saya rungkaikan betapa egonya saya, berasa diri dalam kelompok rujukan hinggakan hati berasa amat terguris apabila keterlibatan dalam sesuatu aktiviti semacam tidak diperlukan. Ego yang meninggi tidak dapat merendahkan perasaan amarah pada Ketua apatah lagi bisikan sekeliling sesekali membakar dan memanaskan hati yang kian gelap, hitam, pekat dan hanya menunggu ianya hanyir dan busuk. Menjaja cerita "akulah kelompok pemulanya,tapi tak diumpama. Jangan harap aku akan bekerjasama sepenuhnya selepas ini". Ada sahabat yang faham marah saya kerana 'kerja' tapi tiada gunanya kalau ia bercampur dengan Ego. ''Khairul akan 'meletup' hari Isnin ni'...kias sahabat apabila dilhatnya tiada nampak unsur reda. Pagi Isnin yang penuh bercelaru mengubah satu gelombang perasaan marah...dilawan dan diniatkan untuk menghapuskannya dengan meletakkan nilai untuk menghormati pada kelas pertama khususnya Ketua dan meletakkan ego ditempat yang betul. Saya capai talileher yang dulunya cukup susah untuk dipakai...sebabnya cukup susah untuk dibutangkan dileher...tak sampai...selain rasa leher macam terjerut dan tidak selesa. "Aku nak lawan marah aku, biarlah talileher ini sebagai tanda semangat dan kerja aku tetap tinggi dan berkualiti." Asas dan niat yang 'very simple' akhirnya memberi satu manafaat yang amat berguna. Sehingga ke hari ini, saya selesa bertalileher...semacam dipermudahkan...kelangsungan niat yang datang dengan tulus dan ikhlas barangkali membuatkan ianya begitu. 'Moral of the story'...jangan layan kemarahan dengan perasaan, atasinya dengan muhasabah diri dan tekad yang tulus ikhlas...akan ada kemanisannya dan nikmatnya. KECIL TAPI SIGNIFIKAN adalah satu ungkapan positif yang sinonim dengan kisah tadi. Sebenarnya, petikan video klip yang menjadi penyebab kepada sebahagian punca kemarahan dan ego saya telah ditayangkan semasa Hari Kualiti 2008 terbitan 'My Friends Production' dengan tujuan untuk menegaskan bahawa apa yang diucapkan oleh Pengarah pada waktu itu adalah tepat, bernas dan padat...seharusnya di berikan perhatian serius untuk pedoman, ingatan dan tindakan.

Kepada Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Bahagian, Koordinator-koordinator Program, Ketua-ketua Unit dan semua staf UiTM J0hor, mohon maaf atas salah silap saya dan terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Untuk Prof...terimakasih kerana menjadi Ketua yang baik, bijak dan bersemangat tinggi. Semoga Prof. terus bersemangat membangunkan UiTM Johor dengan cara tersendiri, dengan aura daripada Prof. yang bersifat holistik dan spiritual. Semoga ia terus subur dan membawa UiTM Johor sebagai kampus yang tersohor...Terima kasih semua.

HARI YANG SIBUK

Hari ni hari yang sibuk. Aktiviti kampus penuh. Pagi diadakan pertandingan 'Battle of the Drum'..pertandingan percussion antara kampus UiTM. Satu pertandingan yang hebat dan keseluruhan program berjalan lancar di Dataran Segamat. TNC HEP juga hadir memeriahkan majlis. Menang kalah memang adat pertandingan...tapi sebenarnya ramai yang menjangkakan UiTM Johor menang..tapi akhirnya tewas pada UiTM Trengganu..juara bertahan. Apa-apa pun saya bangga dan tak sangka persembahan UiTM Johor begitu baik dan cemerlang. Tahniah untuk mereka...

Persembahan yang menarik dari UiTM Johor

Terlintas juga di hati...topi ni kot yang menyebabkan markah dipotong

Semoga mereka berjaya pada tahun depan...Amin

Petang mesyuarat sebut harga. Terdapat hampir 30 sebutharga yang perlu dibincangkan. Lepas Solat Asar disambung dengan Majlis Penyerahan Bendera untuk Kontijen UiTM Johor yang akan berjuang dalam sukan Antara Kampus di UiTM Trengganu dari 18 hingga 22 Mei ini.

Selepas itu, saya bersama Pengurusan UiTM Johor ke rumah Tuan Badar (bekas Pegawai Keselamatan UiTM Johor) di Melaka. Ibu beliau meninggal dunia dan kami hanya berkesempatan untuk berjumpa beliau petang ini. Semoga roh ibunya dicucuri rahmat.

Hari ini juga saya berasa amat terharu apabila Prof menyatakan untuk meraikan saya makan ikan bakar di Muara Sungai Duyung...25 Mei nanti saya dan keluarga dijemput ke rumahnya juga untuk diraikan. Semakin hampir 1 Jun, semakin rindu saya pada suasana kekeluargaan di kampus ini, rindu pada 'setiakawan' dan rindu pada 'keikhlasan' yang tulus dan murni.

'You nak makan apa Rul?' 'Ketam jawab saya spontan'..penuh meja dengan masakan ketam, udang, ikan, sotong, lala, otak-otak, jelly kelapa muda dan kopi pekat serta jus buah-buahan. Bukan itu saja, dibekalkan juga dengan kerepek udang geragau masa nak balik...Terima Kasih Prof...didoakan semoga rezeki melimpah ruah dan Prof. sihat sejahtera sentiasa untuk meneruskan cita-cita murni Prof.

Nak tahu banyak ke tak banyak saya makan...ni lah gambarnya...Memang berselera makan lebih-lebih lagi bos belanja...

Thursday, May 14, 2009

TERIMA KASIH


Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada staf saya di Bahagian Pentadbiran kerana menjemput saya dan keluarga dalam majlis perpisahan yang diadakan di Hotel VIP (dulunya Hotel Pelangi) petang tadi. Sebenarnya dalam saat-saat begini saya lebih suka tiada majlis, tiada ucapan dan tiada yang terlalu formal..sebabnya saya ni seorang yang sentimental, sensitif dan mudah tersentuh bak kata Prof. kalau tengok cerita hindustan pun boleh menangis...

Saya cuba datang dengan seribu keceriaan (yang dibuat-buat)..buat-buat kelek anak, dan bertegur sapa dengan selamba. Nyata ia tak bertahan lama. Sebelum saya bangun memberi ucapan, Pn. Jaja bermula dengan ucapan yang menyentuh hati membuatkan saya dah mula bergenang airmata...disusuli pula dengan staf-staf lain yang dipilih secara spontan dan diminta membuat ucapan..ahh..'memang sah hari ini aku jadi pelakon airmata lelaki terbaik '. Ditambah pula dengan sajak khas yang dibaca oleh En.Farid hasil nukilan En.Hussin..pehh...

Bila dipanggil memberi ucapan, saya hanya memberikan 2 patah perkataan saja selepas salam dan selawat iaitu 'TERIMA KASIH". Saya ingatkan lega...tapi memandangkan reaksi staf yang tercengang-cengang dengan ucapan itu, saya menyambung kembali ucapan dan akhirnya...kesedihan tidak dapat dibendung lagi...dalam senyum saya hargai mereka yang dedikasi menjalankan tugas bersama saya walau senyum itu disulam penuh dengan sekatan kata-kata yang tersekat dikerongkong...

Kepada mereka, saya doakan mereka akan terus cemerlang dan berkhidmat dengan penuh keikhlasan. Terima Kasih...Terima Kasih...dan Terima Kasih...

Wednesday, May 13, 2009

MEMORI 4



Rewang raya...satu aktiviti yang telah 3 tahun berturut-turut dapat diadakan dengan jayanya. Semangat bergotong royong terserlah dalam rewang raya. Penglibatan semua Bahagian dan pensyarah memeriahkan lagi semangat rewang raya ini..macam kenduri kahwin. Sambutan kali ini semeriah tahun-tahun yang lalu. Pengarah memberikan sejumlah wang untuk menampung sebahagian kos jamuan raya tahun ini dan hampir 100 ekor ayem golek panas telah ditempah sebagai menu tambahan hasil sumbangan beliau.


Kepada Prof. Madya Hj. Ismail Shaari yang merupakan Pengerusi Rewang Raya ini saya merakamkan penghargaan yang tinggi atas dedikasi beliau merealisasikan program ini. Kepada 'cabin crew' yang semangat bekerjanya tinggi antaranya Hj.Ruwiyah, Pn. Jaja, Salim Pemandu, Mawar, Zalina, Hj. Nasir Janaro, Hussin dan ramai lagi yang terlibat saya kagum dengan semangat dan keikhlasan yang di tunjukkan...Moga ia dapat diteruskan.

Monday, May 11, 2009

MEMORI 3

Selain Kampus Segamat, kampus UiTM yang lain di negeri Johor ini ialah di Larkin, Kota Tinggi dan Pasir Gudang. Larkin sedang beroperasi sekarang, Kota Tinggi tanahnya telah dibeli dan Pasir Gudang dalam perbincangan. Kampus Larkin kerap kami kunjungi, tapak kampus di Kota Tinggi masih lagi dengan rimbunan sawitnya manakala tapak di Pasir Gudang sudah 2 kali saya kunjungi...sekali dengan Pn. Maznah Jurutera dan Rombongan Staf Fasiliti di mana kami mendaki bukit yang agak tinggi untuk melihat senario kedudukan kampus yang berhampiran dengan Bandar Sri Alam di Pasir Gudang..dan yang keduanya dengan Rombongan Ketua Bahagian UiTM Johor...tapi saya tak naik lagi bukit tu..tak larat...
Lawatan tapak ke Kampus Kota Tinggi

Staf Kampus Larkin bersama Dato' VC

Tapak Kampus Pasir Gudang

Semoga UiTM Johor terus berkembang pesat dengan kewujudan kampus-kampus ini... Amin..

Tuesday, May 5, 2009

MEMORI 2

Saya akan rindu suasana berkursus dan menganjurkan kursus khususnya untuk staf Pentadbiran baik Kumpulan Pengurusan dan Profesional mahupun Kumpulan Sokongan di UiTM Johor. Banyak kenangan indah bersama mereka. Sebagai penceramah, perasmi, sekretariat, perancang perjalanan program, merakam kenangan kursus dan membuat persembahan media/video, mengatur acara 'surprised', bergerak dinihari dalam satu kumpulan tanpa paksaan, penuh keikhlasan dan yang penting input secara tersirat yang diperolehi daripada perkumpulan itu.

Monday, May 4, 2009

MEMORI 1

Amalan kami di Bahagian Pentadbiran ialah mengadakan mesyuarat bulanan pada tarikh hari lahir staf di bulan berkenaan dan ia di 'pool' kan pada salah satu tarikh sekiranya terdapat lebih seorang menyambut hari lahir pada bulan berkenaan. Jika ia jatuh pada hari cuti maka mesyuarat di adakan pada hari berikutnya dan jika tiada staf yang menyambutnya mesyuarat tetap 'on'. Pada 26 Mac lalu, giliran menyambut hari lahir saya dan untuk bulan Mac dan Februari diadakan sekali kerana sebab-sebab teknikal dan mereka yang terlibat ialah Jaja, Che Ngah dan Fatimah. Terima kasih pada semua staf kerana meraikan kami.
Terima kasih tidak terhingga kepada Prof dan Timbalan-timbalan Pengarah yang sudi hadir. Pada hari berkenaan saya umpama seorang selebriti..mendapat email, sms dan telefon dari staf mengucapkan selamat hari lahir..ini kerana budaya dan amalan Prof. mengucapkan hari lahir thru email kepada semua staf setiap kali tiba 'birthday' mereka menyebabkan ramai yang menghantar ucapan...sebelum ni hanya keluarga terdekat saja yang berbuat demikian..yang syahdunya sms dan email yang diiringi doa...
"Ya Allah...sempena hari lahir Khairul hari ini, kau muliakan dan sayangi dirinya, berkati keluarganya, sihatkan tubuh badannya, limpahkan rezeki kepadanya, jauhkan daripada fitnah, penganiayaan dan penghinaan, suburkan benih keimanan dengan penuh rasa kasih sayang serta taqwa tanpa alasan. Makbulkan cita-citanya yang murni...Amin Ya Rabbal Alamin..."

Kecil tapi Signifikan...

Tuesday, April 28, 2009

PERTUKARAN TEMPAT BERTUGAS

Sah. Itulah tajuk surat yang saya terima pagi tadi yang ditandatangani oleh En. Othman Ibrahim, Ketua Timbalan Pendaftar Jabatan Pengurusan Sumber Manusia.
"Sehubungan dengan itu, pihak Pengurusan telah bersetuju bahawa tuan ditukarkan untuk berkhidmat di Bahagian Pengurusan Perjawatan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar berkuatkuasa 1 Jun 2009."
Saya sudah bersedia. Bersedia dengan doa dan harapan agar saya dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan cemerlang lagi. Bersedia dengan keazaman untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Memohon kepadaNya agar dipermudahkan urusan-urusan saya dalam bidang kerjaya ini. Sesungguhnya saya bermohon kepadaNYa. Amin...
Yang nyata, saya akan pindah dulu, isteri dan anak-anak akan ikut kemudian, mungkin awal tahun depan. Anak saya yang sulung, Fitri Hanafie akan menduduki peperiksaan PMRnya pada tahun ini. Fareha Syuhada di Tingkatan 1 di Sekolah Sri Kenangan satu sekolah dengan abangnya. Mereka tinggal di asrama. Fikrie Aiman di darjah empat dan tinggal dengan atuknya di Labis. Faresya Zulaikha 6 tahun dan Fateha Syahera 2 tahun akan ikut kami ke Shah Alam. Itulah perancangan kami. Saya mohon dirahmati dan dipermudahkan perancangan kami dan pelaksanaannya oleh Allah s.w.t. Amin...

Saturday, April 25, 2009

PERKHABARAN

Betul ke you pindah? Bos...bos kena pindah eh..! Bos..confirm nama bos naik untuk tukar 1hb Jun ni..Hang bila nak pi Shah Alam...aku dengaq nama hang naik...En. Khairul kena tukar Shah Alam ke? En.Khairul mintak balik Shah Alam ke..betul ke dia orang kata Encik tukar Shah Alam.. Rul, you tak dengar ke dia orang buat 'reshuffle'...nama you naik ke... Hello, En. Khairul...saya datang Segamat ambik tempat En. Khairul...

Itulah soalan cepu emas dan pernyataan jujur yang saya terima dalam masa seminggu ni. Sehingga ke hari ini saya masih belum menerima suratnya secara rasmi. Perkhabaran tentang pertukaran saya ke Shah Alam angin-anginnya dah sepoi-sepoi bahasa membisik di gegendang telinga, melintas hormat dalam kotak fikiran dan mencuit perasaan yang bercampur-campur. Bagaimanapun ia sesuatu yang baik kerana saya lebih bersedia apabila dihubungi sahabat saya bahawa beliau akan ke Segamat. Tahniah Saudara Badrulhisham Abu Hassan dari Kampus Bandaraya Melaka kerana dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Pendaftar. Selamat datang ke UiTM Segamat.

Wednesday, April 1, 2009

SESI PERKONGSIAN

Petang tadi diadakan sesi perkongsian pengetahuan dan pengalaman warga AR yang telah dipilih menghadiri seminar dan pembentangan di luar negara pada tahun lepas. Mereka ialah En.Zulkifli Sohaimi Timbalan Pendaftar Kanan di Bahagian Perjawatan (Akademik) bersama saya yang di hantar ke Trinidad and Tobago di Kepulauan Carribean, En. Lotfi, Timbalan Pendaftar Kanan UiTM Sarawak ke Barbados juga di Kepulauan Carribean, Puan Noriah Penolong Pendaftar Kanan JPbSM yang di hantar ke Jepun, Cik Farahzaiti (AR di Bahagian Pengurusan Prestasi) dan Puan Jona AR UiTM Melaka juga ke Jepun dan Pn. Nor Zailahan dan Puan Nor Mottahati yang di hantar ke Tanzania. Terima Kasih Dr. Hajah Zahrah kerana memberi kami peluang menimba ilmu dan pengalaman sehingga ke peringkat ini. Sesungguhnya keprihatinan dan kepercayaan yang diberikan kepada kami amat kami hargai. Sesi yang bermula jam 2:40 petang tamat pada pukul 5:50 petang. Sesuatu yang amat menarik untuk dikongsi bersama selain tajuk-tajuk perbincangan berhubung 'human resource management', ialah pengalaman yang tersirat bermula daripada ditawarkan sehinggalah kepada sesi perkongsian yang diadakan petang tadi. Saya ingatkan pada awalnya apabila menerima email daripada JPbSM, tawaran berkenaan terbuka untuk semua ahli Penolong Pendaftar NET. Tetapi bila disemak sekali lagi, ia khusus untuk saya dan En. Zulkifli.
Bermula dari situ saya sentiasa berdoa agar perjalanan saya dipermudahkan (maklumlah tak pernah berkunjung ke tempat yang jauh sebegini). Setakat ini negara luar yang pernah saya kunjungi hanyalah Indonesia, Thailand dan Singapura sahaja. Pelbagai perkara yang pada awalnya nampak mudah tapi jadi sukar dan kelam kabut. Hanya iringan doa kepada yang Maha Berkuasa saban hari menjadikan ia dipermudahkan dan ianya hanya dapat dihayati dan dirasai apabila dihubungkaitkan dengan ingatan kita kepada NYA. 'Tazkirah" awal sehari sebelum saya terbang ke London dan seterusnya ke Tobago daripada seorang 'rakan'...memberikan suntikan semangat baru dan keyakinan kepada saya dalam mengenal erti kemanisan hidup dan perjuangan yang dihubungkaitkan dengan kebesaran NYA. Bermula dengan masalah paspot hinggalah ke sesi pembentangan tadi, saya berasa amat dipermudahkan oleh NYA. Saya leka dan tidak ambil berat tentang perlunya paspot disemak dengan lebih awal...seminggu sebelum pergi saya ke Pejabat Imigresen di Segamat mohon untuk buat paspot (paspot dah lama mati)..dan mereka perlukan paspot lama saya sedangkan paspot berkenaan dah lama saya tak tengok dan tak pasti ada di mana. "Perlu sebulan Encik kalau hilang dan kena buat laporan polis" ..berderau jantung saya sebab nak perginya minggu depan. Dalam perjalanan balik ke rumah hati rungsing kalau cari tak jumpa. Alhamdullilah bila isteri saya semak di dalam beg (dah tentunya bawah katil) elok paspot berkenaan tersusun dan tersimpan..Dipermudahkan...Semasa di KLIA, saya tertinggal beberapa kartun rokok yang dibeli di kedai bebas cukai yang dikirim oleh Mr. Iftikar (pensyarah 'expatriate' yang akan menunggu kami di Kota London). Harganya RM 200. Masa tu saya dah masuk dalam kapalterbang dan rokok berkenaan tertinggal kerana terlupa ambil selepas di 'scan'. Saya mohon izin keluar dan dibenarkan dan ternyata rokok berkenaan masih berada di situ.
Saya tanya En.Zul, 'dah 'booking' hotel di Tobago ke?'..Belum..jawabnya..saya beritahu En.Zul saya hantar email pada penganjur tapi tak berbalas...'kalau takde bilik, kita 'hitch-hike' cari hotel yang berdekatan.' Risau dan menyulitkan juga jika tak ada bilik kosong di Hilton Tobago. Alhamdullilah, bila sampai, penganjur dah siap sedia menunggu di 'airport' dan bila tengok senarai bilik penginapan, nama saya dan En. Zul dah dimasukkan. Semasa melalui kaunter Imigresen..rakan di depan kami dari UM, hampir setengah jam tidak selesai urusan paspotnya..bila kami dipanggil ke kaunter sebelah, terus paspot kami di cop selepas ditanya satu dua soalan.. Dipermudahkan lagi...Beg-beg kami selamat sampai bersama kami walaupun terdapat beberapa peserta kursus begnya tiada di 'airport' Tobago.
Semasa di Kota London, saya memikirkan macamana saya nak cari Mr. Iftikar dalam kesibukan Stesen Victoria. Kami berhenti di salah satu kerusi yang disediakan. Rupanya Mr.Iftikar berada di situ.. dan bila saya menegurnya, dia tersenyum (mungkin lega sebab dia tahu saya tak pernah ke sini) dan terus menghulurkan bekalan sarapan untuk kami. Seperkara lagi...semasa 'check-in' untuk penerbangan balik saya dan En.Zul kena 'excess bagage' 15 kilo. Hati saya sikit tak risau sebab dah biasa semasa berkhidmat di Sabah kena 'excess baggage'. Saya minta dikurangkan, selepas dipertimbangkan 5 kilo untuk saya dan 5 kilo untuk En. Zul...kami diminta membayar baki 5 kilo lagi...dan diminta berjumpa Pegawai jika mahu dikecualikan. Selepas memberi penjelasan dan memohon dipertimbangkan, Pegawai berkenaan dengan senyum menurunkan tandatangannya memberi keizinan pengecualian bayaran. Alhamdullilah...saya bersyukur...sebulan selepas itu Mr. Iftikar datang ke pejabat saya bersembang pasal pengalaman kami di Kota London..dan saya memberitahu beliau kami 'excess baggage' dan kena bayar harga 5 kilo..dia terkejut...kalau tidak satu kilo kena 80 'pound sterling' katanya...bayangkan kalau 5 kilo dan di 'convert' ke RM...Alhamdulilah..semuanya dipermudahkan untuk saya.
Sebagaimana saya ceritakan tadi, semuanya nampak mudah, tiada isu...tapi bila kita mengalaminya, tambahan pula waktu itu ia jadi sukar dan kelam kabut...amat terasa hanya bila kita memohon kepadaNYA dengan sesungguh hati dan setiap apa yang berlaku kita renung kembali...akhirnya yang sukar dipermudahkan, yang kelam kabut berjalan lancar...Syukur kepada NYA.
Itulah pengalaman tersirat yang amat berharga untuk diceritakan dan dikongsi bersama rakan AR petang tadi.