Wednesday, March 11, 2009

PONTIAN KECIL, PONTIAN BESAR

Pontian Kecil besar, Pontian Besar kecil. Itulah uniknya Daerah Pontian. Pusat Bandar ialah Pontian Kecil dan lebih menjadi tumpuan. Sebahagian Pontian Besar adalah penempatan nelayan dan menghadap Selat Melaka. Dulu masa sekolah Tingkatan 4&5 (di Sekolah Sri Perhentian-SSP) hari-hari lalu Pontian Besar. Baru-baru ni masa balik kampung (dari Kulai) kami lalu bandar Pontian. Singgah di Pontian Kecil (juga menghadap laut dan Pulau Pisang jelas kelihatan). Sate dan murtabak nya amat sedap. Kalau tanya saya makanan kegemaran saya yang sedap di Daerah Pontian ni ialah sate, murtabak, mee bandung (Ayer Baloi) dan masakan 'seafood' di Restoran Mandela (jalan ke Kukup). Melihatkan panorama alam yang amat menarik petang itu, saya merakamkan gambar di sekitar Pontian Besar dan Pontian Kecil. Terima kasih isteri dan anak-anak kerana sabar menunggu.

Gambar dibawah adalah ikan tembakul yang riang bermain di sekitar pantai yang tohor waktu tu..ikannya kecil saja (sebesar jari kelingking Faresya Zulaikha - anak saya yang berumur 6 tahun). Gambar ini di 'zoom' dari tembok pantai ke kawasan 'permainan mereka'
Gambar berikut adalah panorama waktu hampir senja di pantai Pontian Kecil yang menghadap Pulau Pisang. Masa saya kecil dulu Pulau Pisang ini terkenal dengan buah mempelamnya yang dipanggil pelam pulau bukan buah pisangnya...isinya manis dan tidak berulat.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di Pontian Besar. Suasana perkampungan nelayannya menjelang senja membuatkan saya sekali lagi memberhentikan kereta dan turun untuk mengambil gambar. Terpegun saya melihat suasana senja di sini. Apalagi...saya pun mencapai kamera dan 'set'kannya ke 'mode sunset' sebagaimana nasihat sifu. Saya rasa inilah peluang saya untuk merakamkan panorama alam yang mengasyikkan. Dan hasilnya seperti berikut:

Saya turun ke pelantar yang betul-betul menghala ke matahari terbenam. Banyak gambar yang saya rakamkan dan yang di bawah ini betul-betul membuat saya teruja. Sebabnya selain pelantar kayu yang bergoyang dan nampak 'regai' yang menyebabkan pergerakan saya terbatas, terdengar bunyi enjin bot dan saya tidak pasti dari arah mana datangnya. Apa yang dapat saya lakukan ialah saya halakan kamera ke arah matahari terbenam dan tunggu bot berkenaan lalu untuk saya rakamkan detik berkenaan. Sambil mengambil gambar dari sudut yang lain pula dalam masa 5 minit terdengar bunyi enjin bot tadi yang berpatah balik dan saya kembali menghala kamera ke arah matahari dan hasilnya ternyata ia tidak menghampakan saya.

Dan gambar berikut sempat juga saya rakamkan dalam 'mode' video. Dalam rakaman berkenaan jelas kelihatan matahari turun perlahan-lahan dan hilang dari pandangan. Saya akan ke sini lagi bersama 'tripod' untuk sesi rakaman yang lebih menarik: catatan pengalaman kepada minat/hobi yang baru saya pelajari
Yang ni komen sifu tempohari dalam email :
Scenery sunset tu memang cantik. Aku pun tak pernah dapat peluang macam tu. Mungkin kena pergi Pontian ni...Angle gambar tu dak kira oklah tu. Lain kali pakai tripod, cuba guna A, letak f = 8.0 dan ISO = 100 dan guna timer 10 saat untuk shoot. Juga guna M, f= 8, ISO =100 dan speed = bawah 1/30.

3 comments:

Syah said...

Salam,

Saya suka gambar terakhir tu. Macam poskad.

AR Johor said...

Terima kasih Shah..nanti kalau balik Pontian dan kena pada masanya boleh lihat suasana tu di sekitar Jeti Pontian Besar..

aniisma said...

Salam

En Khairul, memang cantik sungguh pemandangan senja di Pontian Besar. Kalau di kampung saya di Sg Aceh Seberang Prai, pemandangan sawah dikelilingi pohon kelapa rendang di kala senja tentu lebih menawan.