Thursday, August 7, 2008

AKSI 'THE LEGEND' 1

A. Penjaring utama The Legend
B. Gaya Pro pemain sayap
C. Ada pemain Import dari Portugal (3 dari kiri)

PASUKAN BOLASEPAK PENGARAH - 'THE LEGEND'

Bermula dengan penubuhannya semasa Minggu Mesra Siswa baru-baru ini, Pasukan Bolasepak Pengarah - 'The Legend' telah mengorak langkah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan dalaman dan sehingga kini pasukan 'The Legend' telah mengekalkan rekod tanpa kalah (sehingga perlawanan petang tadi dengan menewaskan pasukan Pensyarah 3-0). Rekod sebelum ini menewaskan pelajar baru 3-1, pasukan Keselamatan dan Pemandu 6-3, Fasiliti 3-1 dan team campuran (gol kecik) 5-4.

Pemain tetap pasukan ini terdiri daripada Pengarah,Timbalan-timbalan Pengarah, Timbalan Pendaftar, Timbalan Bendahari, Pegawai Keselamatan, Ketua Program, Ketua Unit HEP, Koordinator Korporat, EO dan beberapa pemain import. Yang pastinya aktiviti yang diadakan pada setiap petang Rabu ini telah mengumpulkan tidak kurang daripada 50 staf pelbagai Gred untuk berkumpul dan menjalinkan ukhuwah disamping semangat kesukanan yang tinggi di kalangan mereka. Penjaring utama 'The Legend' ialah Prof. Madya Zaluddin Sulaiman (TP HEP) yang hampir melakukan 'hattrik' ketika bertemu team Keselamatan dan Pemandu. Beliau juga mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 4 gol setakat ini.

Wednesday, August 6, 2008

SEPATUTNYA BERCUTI HARI NI

5 Og0s adalah tarikh yang telah ditetapkan untuk Mak (ibu) masuk ke wad untuk pembedahan lututnya..dan patutnya hari ni bercuti untuk bawa Mak ke Hospital Pakar Sultanah Aminah Johor Bahru. Dapat call dari Yen (adik) memaklumkan pembedahan ditangguhkan ke 9 September (bulan puasa) kerana masalah teknikal.

Mak mengidap sakit lutut (rheumatoid arthritis) dan menyukarkan pergerakannya. Pergerakan nya sekadar sekitar rumah. Kalau bawa bercuti dah tentu kerusi rodanya di bawa sekali..dan tempat percutian yang digemarinya ialah Kota Bahru Kelantan..menyusur terus ke Kuala Trengganu dan sambung bermalam di Cherating atau Kuantan. Semoga lepas pembedahan ni nanti Mak bertambah sihat dan pulih kakinya...dapat berjalan seperti biasa... InsyaAllah..

Tuesday, August 5, 2008

AR BARU

Selamat datang saudara Mohd Fadil bin Yusof, Penolong Pendaftar baru yang ditempatkan di Bahagian HEA (lihat gambar senarai AR di sebelah). Beliau merupakan lulusan UiTM dalam bidang HRD dan mendaftar pada 1 Ogos 2008 (saya tiada di Kampus kerana urusan lawatan tapak Kampus di Pasir Gudang hari Jumaat lalu)
Saya panggil beliau ke Pejabat untuk berkenalan dan tentunya nasihat berdasarkan pengalaman yang ada. Tengahari bawa Fadil yang lebih senang dipanggil Bob makan tengahari. En. Khalid masih cuti berbulan madu hingga 7 Ogos. Bob sempat juga ikut rombongan bas Staf HEA ke majlis perkahwinan En. Khalid di Temerloh. Shaiful 'outstation'...hari Jumaat hari tu Pn.Jaja dah uruskan lapor diri Bob dan penginapan sementara beliau. Bob akan ditempatkan di Bahagian HEA dan bekerjasama dengan Khalid selepas Khalid balik dari cuti bulan madunya.
Untuk Bob, selamat datang ke UiTM Segamat, semoga cemerlang berkhidmat untuk anak bangsa...

Monday, August 4, 2008

SELAMAT PENGANTIN BARU

Hari ni bawa keluarga ke Temerloh, Pahang kerana menghadiri majlis perkahwinan AR HEA En. Khalid. Majlis diadakan selama 2 hari. Semalam di Hotel Seri Malaysia Temerloh, hari ni di Kampung Pangsenam, kampung halaman En.Khalid. Lebih kurang 2 jam setengah perjalanan dari Segamat ke Temerloh. Hj. Yusri Timbalan Pengarah HEA dan keluarga juga hadir hari ni. Semalam staf Bahagian HEA satu bas dari Segamat. Saya tak dapat datang semalam (Sabtu) kerana ada program bersama Pengarah di Kampus.

Sampai di Kampung Pangsenam pukul 11:30 pagi. Dijamu dengan masakan kampung...sedap dan menyelerakan...ada umbut, ikan kering, daging kerbau..fuh..tengah lapar pulak tu...Pengantin tiba lebih kurang jam 1:00 tengahari...sempat kami sekeluarga dan Tn. Hj. Yusri bergambar dengan pengantin...Untuk En.Khalid, semoga berbahagia hingga akhir hayat..SELAMAT PENGANTIN BARU..




Thursday, June 5, 2008

KONFERANSI PENOLONG PENDAFTAR, BAYVIEW LANGKAWI

Konferansi yang ke 14 ini diadakan di Bayview Hotel, Langkawi dari 4 hingga 7 Jun 2008 dan ia juga turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Universiti tempatan yang lain. Konferansi ini bertemakan "Entrepreneurship and Professionalism in University Management". Sebagai pentadbir Universiti, nilai keprofesionalan dalam diri seharusnya terserlah bagi menjamin mutu dan kecemerlangan berterusan dalam perkhidmatan yang diberikan. Pengetahuan yang luas dan mendalam di kalangan pentadbir Universiti dalam aspek pengurusan dan perkhidmatan menggambarkan kredibiliti, karisma dan keyakinan pelbagai pihak kepada kecemerlangan pentadbir itu sendiri...yang nyata..nilai keprofesionalan dalam diri tadi harus disemai dengan benih keikhlasan, kejujuran dan integriti bagi menjamin kecemerlangan yang sejati...

Sunday, June 1, 2008

JEMPUTAN KAHWIN

Hari ni ada 2 jemputan kahwin (yang dalam makluman…tak masuk pejabat lagi… tak tahu lah kalau ada jemputan yang lain). En. Abdul Rahman Yassin, staf saya semasa di Melaka menghantar jemputan melalui email..Meriah jumpa kawan-kawan lama…Pengarah UiTM Melaka Dr.Mizan, Pn.Sabariah (TP HEA) dan En. Zainuddin (Koordinator Kampus Bandaraya Melaka) antara yang sempat saya bersembang…Pergi ke rumah En. Rahman dengan En. Talib Baba…antara lain yang ada ialah Arif, Razali, Mat Som, Pak Itam, Hj. Saidin, dan Amalina…

Semasa di Melaka dah Telefon En. Hussin beritahu lambat sikit ke rumah orang tuanya sebab masih berada di Melaka…’Takpe Rul, sekarang ni tengah ‘jem’ teruk..dia orang tutup jalan masuk ke Felda Kemelah (jalan dikorek)…kena ikut jalan lain…bengang betul aku..” katanya. Memang betul…sampai Kemelah dah pukul 5:30 petang..jalan masuk utama di tutup…dilencongkan ke jalan felda melalui pokok-pokok getah…jalan tanah merah dan jalannya kecil pulak tu…Husin kata ada perselisihan faham juga antara yang menggunakan jalan itu sebab tak mahu beralah…dia dah bagi tahu kontraktor tu ada majlis kahwin ..jangan tutup dua-dua hala…tutup sebelahlah dulu…dan dah dipersetujui…tapi ditutupnya juga dua-dua hala…’Apahal kalau ada kes kecemasan’…katanya. Betul juga tu…


Saturday, May 31, 2008

BERCUTI DI MELAKA

Minggu depan akan menghadiri Konferansi Penolong-penolong Pendaftar di Langkawi. Sebelum balik dari London dah minta isteri tempahkan hotel di Melaka..untuk berehat bersama keluarga…Ajak sekali semua adik beradik…kecuali Sham dan keluarga dari K.L. tak dapat join sebab dia tak sihat…malam dah tentu pekena ikan bakar di Umbai…cadangnya nak pergi ke Sg. Duyung tapi tutup pulak…’next time’ mesti bawak mereka ke sana…sedap, cepat dan tempatnya pun bersih…menu yang dia orang tak pernah rasa tentunya ‘sepahat’ goreng cili api..cubalah…diperkenalkan oleh Prof.Kamil (Pengarah) dan Hj. Yusri (TP HEA)...dan di Sg. Duyung lebih sedap lagi masakkannya…

Friday, May 30, 2008

HEATHROW LONDON – KLIA MH001

KLIA - 6:20 PETANG
Penerbangan balik dari London ke KLIA mengambil masa 10 jam…dan tiba di KLIA 5:45 petang waktu Malaysia. En. Hashim (Pemandu Kanan UiTM Johor) dah sedia menunggu…sampai rumah jam 9:00 malam…makan malam bersama keluarga…rindu pada mereka..

Thursday, May 29, 2008

KOTA LONDON

Kota London...manusia bergerak pantas...kamipun ikut bergerak pantas…apatah lagi Mr.Iftikar (Pensyarah UiTM Johor-sebahagian besar familinya menetap di London) yang membawa kami bersiar-siar di Kota London sendiri berjalan pantas. Dari stesen Victoria London hinggalah ke Arsenal, Oxford Street, Buckingham Palace, Trafalgar Square dan beberapa lagi kawasan sekitar Kota London ini kami jelajahi...turun bas, naik bas, dari satu stesen ‘train’ ke satu stesen yang lain…ruang masa yang ada dan kesempatan ini kami gunakan sepenuhnya…rehat dan solat di salah satu masjid (surau) yang ada di Highbury. Makan tengahari…dah tentunya Mr. Iftikar bawa kami ke kedai Kebab..berselera sungguh makan kebab ayam, nasi, salad dan roti nan…maklumlah di Tobago asyik makan maggi, rendang dan roti yang dibawa…(En. Zul saja yang kurang selera..). Terima kasih Mr. Iftikar kerana membawa kami bersiar-siar di Kota London…

Monday, May 26, 2008

BINTANG BOLASEPAK BRAZIL

Bertuah sungguh hari ni sebab masa tunggu kenderaan untuk ke Crown Point (kawasan jualan cenderamata) berhampiran Airport Tobago, saya berkesempatan bergambar dengan 'bintang bolasepak Brazil' ... 2 beradik yang comel...he..he..he..umur sebaya dengan anak saya..Aiman..

MEMBENTUK JARINGAN

ACU (Association of Commonwealth Universities) sebagai penyelaras kepada Persidangan ini menjangkakan sebahagian permasalahan HR di universiti negara-negara Komanwel adalah sama. Seperti kata Dr. John Kirkland-Deputy Secretary General of ACU (gambar),ruang yang ada ini dapat membentuk percambahan minda bagi permasalahan berkenaan seterusnya jaringan hubungan antara peserta. Seminar yang berakhir hari ini ditutup dengan perisytiharan seminar akan datang akan diadakan di Melbourne/Sydney Australia..

Saturday, May 24, 2008

3rd CONFERENCE OF THE ACU HRM MANAGEMENT NETWORK

Saya dan En. Zulkefli Sohaimi, Timbalan Pendaftar (Perjawatan Akademik) UiTM Malaysia merakamkan ucapan penghargaan kepada Puan Pendaftar, Dr. Hajjah Zahrah Mokhtar atas pencalonan dan peluang yang diberikan kepada kami untuk menghadiri persidangan ini. Persidangan ini adalah siri yang ke-3 dan pada siri yang lalu ia telah diadakan di Kuala Lumpur. Ia dihadiri oleh peserta dari Negara-negara Komanwel dan perbincangan serta pembentangan berkisar kepada pemantapan peranan dan usaha memperkasakan pentadbiran Universiti dan peranan yang harus dimainkan oleh Pentadbir Universiti. Selain kami dari UiTM, persidangan juga turut dihadiri wakil dari UM, UIA, UPM, UMS, UMT dan Universiti Pertahanan Malaysia.

Friday, May 23, 2008

HILTON HOTEL TOBAGO

Tobago merupakan satu kepulauan kecil di Carribean ini dan perjalanan dari Tobago ke Trinidad mengambil masa 2 jam perjalanan dengan bot dan 20 minit dengan penerbangan. Seminar yang bertema kan 'HRM: Adding Value or Adding Complexity' ini diadakan di Hotel Hilton Tobago. Kedudukannya yang menghadap laut dan panorama pesekitarannya mengingatkan saya kepada tempat Jawatankuasa Kualiti kami mengadakan perbincangan di Sutera Beach Resort, Merang Trengganu baru-baru ini..

GATWICK LONDON KE TOBAGO FLIGHT BA2157

Penerbangan dari North Terminal Gatwick London ke Tobago mengambil masa hampir 10 Jam. Transit di Barbados dan sampai di Tobago jam 4:00 petang (4:00 pagi waktu Malaysia). Menginap di Hilton Tobago. Tobago merupakan salah satu kepulauan kecil di Carribean ini. Kenderaan di sini guna plet nombor sebijik macam kereta kita di Malaysia..e:g - PBA 2365. Cantik pantai di kepulauan Carribean ni... nanti sambung lagi ..payment for using internet US 20.00 per day dah tamat...

Thursday, May 22, 2008

MENCARI HOTSPOT FREE DI GATWICK

Lepas solat dan makan rendang kering serta roti yang dibawa, keluar hotel melalui terowong yang menyambungkan ke Airport Gatwick untuk cari hotspot free...Hotspot airport di sini berbayar...Cis!!..KLIA jugak best..cuba dekat Mc.Donald baru dapat tapi nak kena duduk kat kawasannya..pukul 12:30 balik bilik..

TRANSIT DI LONDON

Bermalam di Sofitel Hotel, London.. suhu 9'C...tiba di Heathrow Airport terus naik bas ke Gatwick Airport pulak (hampir sejam perjalanan) kerana perjalanan besok ke Trinidad and Tobago menggunakan penerbangan British Airways dari Airport berkenaan. Hotel Sofitel disambungkan dengan terowong ke Airport Gatwick. Dekat pukul 9 malam baru matahari terbenam..

KLIA-HEATHROW LONDON-MH004


Berlepas jam 10:05 pagi dari KLIA dan tiba di Heathrow London jam 4:00 petang waktu di London..
Bersama En. Zulkifli Sohaimi Timbalan Pendaftar UiTM Shah Alam menghadiri seminar di Trinidad and Tobago...transit di London satu malam...

Wednesday, May 21, 2008

'TAZKIRAH'

'Tazkirah' maghrib tadi lain dari yang lain...bukannya di masjid atau surau..'tazkirah' dari seorang 'kawan' yang datang dari lubuk hati yang ikhlas...
Bermula perjumpaan di Kopitiam Seksyen 9 Shah Alam, bawa ke hotel 5 bintang penuh dengan pedoman yang jarang sebenarnya dapat diceritakan secara 'detail' dan penuh perasaan...dari satu bab ke satu bab hinggalah menyentuh sedikit isu politik negara masa kini (sampai terlepas tajuk berita jam 8:00...8:30 baru on TV)..seronok 'bertazkirah'... kesimpulan kepada intipati tazkirah tadi ialah keikhlasan bekerja dan rintangan yang mungkin ada kepada keikhlasan yang ditunjukkan...dan bagaimana nak mengatasi rintangan berkenaan agar keikhlasan kita tidak tergugat atau goyah...susah tu...sebab adakalanya keikhlasan itu disalahtafsir atau mungkin juga sengaja disalahtafsir...yang nyata unsur-unsur sebegini hanya bercerita di belakang...budaya berdepan dan bersemuka (khususnya untuk berbincang) agak 'kureng'...termasuklah diri saya...dan semoga 'tazkirah' ini membawa satu perubahan untuk kebaikan bersama...

Thursday, May 15, 2008

NILAI 'SENTIMENTAL'

Sesuatu barang amat bernilai pada fikiran kita tetapi tidak pada orang lain.Apatah lagi benda yang kita anggap 'bernilai' itu dah jadi usang atau buruk,dah berabuk, gambarnya dah lama, pudar dan macam-macam lagi yang dapat dilihat dengan mata kasar.Nilai 'sentimental' ini betul-betul berkait dengan perasaan, mudah terguris, terasa, sayu hati dan sebak jika barangan berkenaan mahu dibuang, dialih apatah lagi nak diletak atau diganti dengan barang yang baru.

Bagaimanapun, jika kita terlalu emosional dengan nilai 'sentimental' ini, ia tidak ke mana (adakalanya memang perlu kita pertahankan 'nilai 'sentimental' ini).

Semalam main boling dengan kasut yang dibeli waktu mula belajar main sukan ini..dah terkopak tapi di 'modified' oleh Suhaimi (staf unit sukan) secara percuma melalui rakannya..kawan-kawan tergelak juga tengok kasut tu...tapi atas semangat nilai 'sentimental' tadi dan semangat 'agi idup agi ngelaban'...ternyata kasut tu bawak tuah...'jatuhan pin yang memberangsangkan'...cukup untuk memberi ingatan kepada kampus-kampus lain bahawa UiTM Johor sudah bersedia untuk Kejohanan Boling Piala Naib Canselor kali ke-2 yang akan diadakan di Segamat Bowl pada 7 dan 8 Jun nanti.

Saturday, May 10, 2008

IBU

Khutbah Jumaat semalam betul-betul mengusik hati.. Cerita tentang ibu…bergenang airmata bila teringatkan ibu semasa mendengar khutbah.Tak tahu kenapa…Semua orang tahu pengorbanan seorang ibu…semua orang tahu kasih sayangnya seorang ibu...dan semua orang punya rasa cinta dan kasih pada ibu dan dan juga bapa. Lepas solat Jumaat..terus telefon ‘Mak’…panggilan untuk ibu..


Dr. Fadhilah Kamsah ada menyebut …’kita rasa kecil hati atau anggap orang dah tak ingat kita bila tiba hari lahir orang tak beri hadiah kepada kita'…tapi kenapa kita tak ubah…’bila tiba hari lahir..tak usah tunggu hadiah orang, tak perlu nak berkecil hati kalau suami atau isteri terlupa ucap ‘happy birthday’ ...apa yang cantik dan jarang dibuat ialah bila tiba hari lahir…kita hargai orang yang melahirkan kita....itu lebih bermakna... ’SELAMAT HARI IBU’

Wednesday, May 7, 2008

DEMAM

Musim agaknya ni...di Labis ada yang kena demam denggi. Tadi melawat En. Jafri Pensyarah Bahasa Inggeris di hospital. Dah 8 hari demam tak baik-baik. Panas berbalik-balik. Ikut Doktor bukan demam denggi katanya . Cadang juga pada En. Jafri suruh Doktor 'check' kot-kot demam 'kepialu' ...sebab En. Hussin dah ada pengalaman, anaknya kes yang hampir sama, tiap hari kena 'injek' ambil darah, 'at last' kes kepialu...'hangin' betul dia dengan Doktor Myanmar tu... "You Doktor ke I Doktor'...ceritanya pada saya bila dia asyik tanya kedudukan penyakit anaknya pada Doktor tu.

Tak lama lagi lahirlah kumpulan Doktor Perubatan pertama UiTM ..detik yang amat bersejarah...semoga kumpulan ini berjaya membawa kecemerlangan nama UiTM dan tentunya BANGSA MELAYU...bangga dengan perkembangan UiTM...diam tak diam dah 25 tahun berlalu dari tahun mula mendaftar di Dewan Seri Budiman...

Untuk En. Jafri..didoakan semoga cepat sembuh...nak ajak pekena teh tarik dan roti bakar kedai Steven...

Sunday, May 4, 2008

SURVIVAL MELAYU

Melayu semakin layu...kata seorang kawan ...Saya jawab tidak..semangat menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu mengalirkan jawapan itu. Kongres telah berakhir dengan resolusi. Didoakan resolusi yang dibentang dapat diangkat dan dijulang sebagai satu wadah perjuangan memartabatkan bangsa....'Survival Melayu'..dan saya yakin ia bergerak ke arah itu.Terkenang...satu ketika dulu lagu 'WARISAN' meniupkan semangat dalam minggu silahturahim ITM..bahkan ada bait-bait kata dalam lagu itu yang menyentuh perasaan...sebak dan bersemangat apatah lagi dinyanyikan beramai-ramai.Rasanya, sudah sampai masanya ia dialunkan semula...sudah sampai masanya tiupan api semangat Ketuanan Melayu disalurkan pada generasi muda dan sudah sampai masanya mereka ini diterapkan pemikiran untuk membela anak bangsa bermula mereka menjejakkan kaki ke UiTM tercinta.

Saturday, May 3, 2008

KONGRES PERMUAFAKATAN MELAYU

Menghadiri Kongres Permuafakatan Melayu di Persada Johor.Ramai tokoh yang menghadirinya. Antara isu yang dikupas ialah berkaitan kedaulatan politik Melayu, kedaulatan perlembagaan Malaysia dan kedaulatan ekonomi Melayu.Istilah 'politik dikir barat' (tukang karut cakap yang lain ikut) sesuatu yang perlu direnungkan.'Politik dikir barat' ini juga adakalanya berlaku dalam organisasi. Yang nyata, amalan ini memberikan kesan negatif dalam usaha menyatakan kebenaran, dilihat menongkah arus dan jika dibiarkan membenam keupayaan fikiran dan semangat untuk berkongsi pendapat ke arah kebaikan dan kecemerlangan.Wujud ketidaktelusan dan tentunya 'Amanah' yang seharusnya dilaksanakan terpinggir. Natijahnya..'Amanah'yang diabaikan memberikan kesan kepada kekecundangan usaha memartabatkan bangsa. Memetik kesimpulan pembentangan Tan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim, "kita telah banyak mengabaikan 'Amanah'dan kita kerap tidak menyerahkan 'Amanah' kepada 'yang ahli' ada kebenarannya. Moga akan ada tindakan segera yang penuh berintegriti diambil...InsyaAllah