Monday, August 31, 2009

BERKUMPUL

Orang rumah sibuk 'bersilat' di dapur. Keluarga saya berkumpul. Inilah kali pertama Emak bertandang ke rumah selepas pembedahan kaki beliau. Sebelum ini kalau saya bawa beliau bercuti ke Pantai Timur, beliau akan bermalam di sini.
2 hari mereka di sini terasa amat meriah kediaman kami. Maklumlah sejak saya berpindah ke Shah Alam, saya tak dapat balik tiap-tiap minggu ke Pontian. Perancangannya mungkin sebulan sekali. Begitu juga kalau semua kami dah pindah Shah Alam nanti. 31 Ogos petang mereka balik ke Ayer Baloi dan saya balik ke Shah Alam jam 3:00 petang. Hari ini En. Badrol mempelawa saya ikut mereka (Hussin dan Jaja) yang juga akan ke Shah Alam kerana ada taklimat besoknya. Seronoknya kami dapat bekumpul dalam perjalanan ini. Macam-macam cerita yag keluar. Sampai di Shah Alam kami berbuka di Intekma Resort (En. Badrol 'belanja'). Terima kasih En. Badrol. Memang berbaloi-baloi pergi dengan En. Badrol.

Saturday, August 29, 2009

SUBUR

Pagi ni ke Pasar Tani dengan orang rumah. Emak, kakak dan adik serta anak buah nak datang. Cadang nak buat bubur lambuk dan sup tulang. Dah lama tak ke pasar berbelanja dengan orang rumah (selalunya hari Sabtu kalau tak balik ke Pontian).
Balik dari pasar saya ke depan rumah memetik buah limau kasturi. Subur betul. Yang syoknya 'buah rambutan budak sekolah' pun dah berbuah walaupun pokoknya kecil. Tak sia-sia saya menjaga, membaja dan menyiram pokok-pokok ini pagi sebelum pergi kerja dan petang bila balik dari kerja. Terima kasih pada Osman (pemandu) yang tolong membeli anak pokok dan menanamnya. Seronok pulak bila sesekali balik terus tengok pokok-pokok ni. Ada 2 pokok betik tumbuh meliar. Sekarang tengah tanam pokok daun sambung nyawa. Mintak bibik tolong 'monitor'. Yang saya tanam dalam pasu dah banyak kali dimakan.

Friday, August 28, 2009

TEMPAT JATUH LAGIKAN DIKENANG

Hari ini saya ambil cuti. Pertamanya, kerana anak-anak berkumpul sebab cuti sekolah. Keduanya anak-anak demam. Kesian Ika demamnya berbalik-balik. Baby pun tak sihat. Ketiganya keluarga saya akan bertandang ke rumah di Segamat.

En. Badrol Hisham - Timbalan Pendaftar

Pagi saya ke UiTM. Jumpa staf di Bahagian Pentadbiran khususnya. Mereka dah pindah ke 'pejabat baru'...pejabat yang dah siap di 'renovate'. Semoga terus cemerlang dan bersyukur diberikan keselesaan untuk memberikan khidmat yang lebih baik dengan penuh keikhlasan hati.

Sebahagian staf Bahagian Pentadbiran UiTM Johor

Terima kasih kepada semua yang saya temui. Terima kasih atas budi baik dan layanan mesra. Terima kasih atas buah tangan walaupun kunjungannya seketika. Banyak kenangan manis, suka duka semasa di sini. Antaranya bermula dengan menjaga anak-anak selama setahun setengah kerana orang rumah sambung belajar di UKM waktu pertama kali saya ditempatkan di UiTM Segamat ini. Saya mendapat panggilan telefon semasa bertugas di Bahagian HEA daripada Yen (adik) waktu itu dalam bulan Ramadhan memaklumkan Abah sakit tenat dan kemudian pergi untuk selama-lamanya semasa saya dalam perjalanan balik untuk ambil anak-anak. Satu-satunya AR yang lulus PTK (semasa PTK baru diperkenalkan) dan seterusnya diberi anjakan gaji. Mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang dan dinaikkan pangkat ke Penolong Pendaftar Kanan dan seterusnya memangku Jawatan Timbalan Pendaftar. Disahkan dan dinaikkan pangkat ke Timbalan Pendaftar (dan beroleh sekali lagi anjakan gaji kerana lulus PTK Aras IV). Berkhidmat dengan 4 orang Pengarah. Menerima Anugerah Khas Pengarah pada sambutan Hari Q 2008. Merupakan juara berpasukan Bowling Antara Kampus (dan terbaru semasa UiTM Trengganu menjadi Tuan Rumah).

Semasa berkhidmat di sini, kami dikurniakan tambahan 2 cahaya mata (Ika dan baby Julia)...melengkapkan perancangan kami untuk 5 orang cahaya mata. Walaupun isteri keguguran 3 kali (kalau tidak 8...he...he...he) semuanya itu ada hikmahnya. Bila dapat tahu isteri mengandung (selepas dapat Julia), hati gembira dan berbisik pada isteri...'ini bonus'. Tapi bila beliau keguguran perasaan sedih terus menyelubungi. Apatah lagi kami juga mengharap (walaupun 'target' dah tercapai). Penghujung ramadhan ini atau minggu pertama syawal adalah jangkaan sekiranya isteri tidak keguguran. Dan bila saya renung kembali...inilah hikmahnya. Bagaimana agaknya kalau dalam waktu ini isteri sarat mengandung dan menguruskan Julia yang masih kecil dan manja sedangkan saya bertugas di Shah Alam. Mungkin agak kelam kabut kehidupan kami...

Di Segamat ini jugalah, saya masuk ke 'bilik bersalin' menyambut kelahiran Ika dan Julia...Sebelum ini pernah isteri ajak masuk tapi saya tak mahu...takut pun ada. Semasa menunggu isteri nak bersalin, adalah seorang 'mamat' ni yang isterinya dah memang nak bersalin, dijerkah oleh 'misi' kerana tak nak masuk. Atas pengalaman 'ngeri' mamat tadilah bila dipanggil nama saya kata isteri dah nak bersalin...dengan 'macho'nya saya melangkah bergaya ke bilik berkenaan.He...he...he...

Segamat...adalah gabungan kata Segar Amat...tempat jatuh lagikan dikenang...inikan pula tempat yang segar amat.